Nabi Diiktiraf Pemimpin Madinah





TAHUKAH anda, apakah perlembagaan (negara) yang terawal ditulis di muka bumi ini? Jangan sekali-kali jawapan anda itu dikaitkan dengan kehebatan empayar atau kerajaan, baik Rom mahupun Parsi yang terlebih dahulu wujud sebelum terbentuknya kerajaan Islam di Madinah.

Ini kerana yang tepatnya sebagaimana yang dipersetujui oleh banyak pihak, adalah Piagam Madinah untuk sebuah negara bernama Madinah Al Munawarrah (Bandar Bercahaya).

Ia adalah perlembagaan bertulis pertama atau undang-undang negara yang disifatkan paling lengkap di dunia. Meliputi pelbagai aspek dan dimeterai sebaik sahaja negara Islam Madinah dibentuk.

Piagam yang juga dikenali sebagai Perjanjian Madinah, Dustar Madinah dan Sahifah Al Madinah itu mempunyai banyak sebab lain apabila disifatkan sebagai yang pertama di dunia.

Perjanjian itui tidak lahir daripada satu pihak sahaja, iaitu Rasulullah SAW selaku pemimpin negara tetapi membabitkan semua pihak sama ada dari puak Ansar, Muhajirin dan Yahudi.

Lazimnya sukar bagi sesebuah perlembagaan itu ditulis dan dipinda, tanpa mendapat tentangan mana-mana pihak. Namun, berbeza dengan Piagam Madinah yang sangat bersejarah itu.

Ia dapat diterima oleh semua pihak setelah Rasulullah berjaya menyatukan puak-puak di Madinah kerana selain mempunyai hubungan baik dengan kaum Yahudi, baginda kemudiannya berjaya menyatukan pada kedua-dua bangsa Arab, Ansar dan Muhajirin.

Ini memudahkan piagam itu dibentuk selain sifatnya yang memberikan kemenangan kepada semua pihak.

Ditulis pada tahun pertama Hijrah iaitu bersamaan 622 Masihi, piagam itu mengandungi 47 fasal, iaitu:

* 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.

* 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.

Ia mengandungi peraturan-peraturan berasaskan syariat Islam untuk dilaksanakan dalam sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa atau kaum.

Apabila kita sorot akan segala isi kandungan piagam tersebut, maka kita dapati perkara utama yang terkandung dalam Piagam Madinah adalah:

* Nabi Muhammad SAW adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkahan hendaklah merujuk kepada baginda.

* Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri. Sebaliknya hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.

* Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.

* Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah daripada serangan musuh dari luar Madinah.

* Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut,

Justeru Piagam Madinah bertujuan;

* Menghadapi masyarakat majmuk Madinah

* Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk.

* Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum

* Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan

* Mewujudkan keamanan di Madinah

* Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.

* Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin

* Membentuk kesatuan politik dalam mempertahankan Madinah

* Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.

* Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 20/10/2010.

0 comments