Singapura: Kuasa Untuk MUIS Urus Sistem Haji Lebih Baik




Bakal jemaah yang telah mendaftar untuk menunaikan haji tetapi tidak meneruskan niat mereka bahkan tidak memberi respons kepada tawaran tempat haji yang diberikan akan dikeluarkan daripada senarai sistem pendaftaran haji oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Langkah itu bertujuan mengemaskini Sistem Pendaftaran Awal Haji (AHRS) Muis dan mengeluarkan senarai pemohon yang 'melambatkan' sistem itu.

Muis juga telah membuat pindaan tambah kepada Peraturan Haji dalam Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) bagi memberi kuasa kepadanya mengarahkan ejen pelancongan (GSA) pakej haji yang tidak mempunyai bilangan jemaah mencukupi bergabung dengan GSA lain jika kuota haji Singapura dikurangkan.

Demikian antara beberapa semakan yang dibuat ke atas sistem AHRS dan sistem Tender Pakej Haji yang diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, di Seminar Haji di Hab Islam, semalam.

Perubahan itu dibuat menyusuli semakan yang dibuat Jawatankuasa Semakan Haji melibatkan wakil daripada pegawai Muis, Jawatankuasa Haji dan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas).

Menurut Muis, semakan tersebut juga dibuat ekoran daripada ketidaktentuan berkenaan kuota haji tambahan yang berlaku tahun lalu, menyebabkan ramai bakal jemaah haji bimbang sama ada mereka dapat menunaikan haji atau tidak.

Tahun lalu, seramai 2,180 jemaah Singapura mengerjakan haji - melebihi kuota 680 yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi - selepas pihak Singapura meminta agar kuota itu ditambah.

‘Pindaan ke atas Peraturan Haji akan memberi Muis kuasa tambahan untuk mengambil tindakan terhadap para pendaftar yang tidak mematuhi peraturan-peraturan dalam sistem pendaftaran haji.

‘Ini termasuk kuasa untuk mengeluarkan nama pemohon yang telah mendaftar melalui AHRS untuk menunaikan haji pada tahun-tahun tertentu tetapi tidak memberi respons apabila dihubungi untuk menunaikan haji.

‘Ini bertujuan untuk memastikan para pendaftar membuat perancangan rapi dan juga ia dapat mengemaskini sistem AHRS,’ kata Dr Yaacob.

Menurut Muis, pemohon yang setelah dikeluarkan daripada senarai tetapi ingin memohon kembali akan dimasukkan semula ke dalam senarai AHRS namun perlu menunggu giliran mereka sekali lagi.

Berdasarkan maklumat yang diberikan Muis, seramai 5,000 pemohon telahpun berdaftar dan berada dalam senarai AHRS sehingga musim haji 2014.

Daripada jumlah tersebut, sekitar 1,300 pemohon tidak memberi respons kepada tawaran Muis untuk menunaikan haji pada musim yang diperuntukkan, kata Muis.

Sejak musim haji tahun lalu, Muis telahpun menyemak sistem AHRS untuk memberi keutamaan kepada bakal jemaah yang menunaikan haji buat kali pertama, dan ini telahpun dilaksanakan pada 18 Julai 2009.

Perubahan yang disarankan Jawatankuasa Semakan Haji berkenaan Sistem Tender Pakej Haji telahpun dilaksanakan pada Julai 2010.

Antara perubahan tersebut termasuk Muis diberi kuasa untuk mengarahkan pihak GSA yang mempunyai kurang 20 jemaah haji agar mengatur perjalanan mereka bersama dengan GSA lain yang mempunyai jumlah minimum 20 jemaah.

Namun pihak GSA harus mendapatkan persetujuan daripada jemaah terlibat mengenai atur cara dan pakej perjalanan yang baru itu.

Mengulas tentang semakan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Haji, Haji Shafawi Ahmad, berkata adalah penting bagi Muis menguruskan jemaah haji secara teratur dan tersusun supaya tiada masalah timbul.

‘Oleh itu, perlu diadakan satu sistem yang telus yang dapat difahami para jemaah. Pemohon yang masih enggan berganjak daripada senarai tersebut haruslah memberi laluan kepada yang lain untuk menunaikan haji,’ ujar Haji Shafawi.

Sumber: Cyberita Singapore. Sabtu. 2/10/2010.

0 comments