MUIS jaya dapatkan tambahan kuota haji lebih awal sebanyak 1,500 tempat. Semua yang berdaftar untuk tunai haji tahun ini sudah dapat tempat. Mereka yang gagal tunaikan haji tahun lalu dan yang berniat tunaikan haji tahun depan buat kali pertama juga ditawarkan
Ketidakpastian dan keresahan yang dirasakan para jemaah haji tahun lalu dijangka dapat dielakkan tahun ini kerana Singapura berjaya mendapat tambahan kuota haji lebih awal.
Dengan pengesahan awal itu, urusan haji dijangka berjalan lebih lancar lagi.
Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Haji Mohd Alami Musa, semalam mengesahkan Singapura berjaya mendapat sejumlah 2,180 kuota haji tahun ini - tambahan sebanyak 1,500 tempat daripada kuota rasmi 680 yang diberikan kepada Singapura awal sebelum ini.
Haji Mohd Alami, yang ditemui selepas acara taklimat bagi bakal jemaah haji di Singapore Expo anjuran Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), berkata dengan tambahan tersebut mereka yang ingin menunaikan haji tahun ini telah pun mendapat tempat masing-masing.
MUIS juga telah menawarkan tempat kepada mereka yang gagal melakukan ibadah haji tahun lalu.
‘Tambahan kuota ini juga bermakna kita dapat tawarkan tempat untuk menunaikan haji tahun ini kepada mereka yang telah menyatakan niat untuk menunaikan haji tahun depan dan akan melakukan ibadah haji buat kali pertama,’ ujarnya.
Haji Mohd Alami turut menyampaikan ucapan terima kasih Muis dan masyarakat Islam Singapura kepada kerajaan Arab Saudi dan Duta Besar Arab Saudi ke Singapura, Dr Jamil Mahmoud Mohamed Merdad serta kakitangannya di atas kemurahan hati mereka menambah kuota haji itu.
Beliau berkata, hampir kesemua jemaah yang sepatutnya menunaikan haji tahun lalu dan tahun ini telah menerima tawaran tempat oleh MUIS.
‘Namun, masih ada sejumlah kecil yang sepatutnya menunaikan haji tahun depan dan ditawarkan untuk menunaikannya tahun ini yang belum memberikan jawapan. Ini kerana mereka tidak merancang untuk pergi haji tahun ini. Mereka perlukan sedikit masa untuk uruskan soal cuti dan sebagainya,’ ujarnya.
Namun, Haji Mohd Alami yakin kesemua 2,180 tempat yang diberi itu akan diisi.
Berita Minggu difahamkan, Muis sedang menghubungi baki bakal jemaah yang belum memberikan kata putus itu.
Presiden AMTAS, Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat, juga melahirkan rasa syukur pengesahan tentang jumlah kuota telah diberikan kerajaan Arab Saudi lebih awal tahun ini.
‘Sejak sebelum puasa kami telah menerima pengesahan tentang tambahan kuota haji. Oleh itu pihak ejen penjualan (GSA) pakej haji dapat lakukan persiapan lebih awal seperti membuat bayaran deposit bagi hotel dan tempahan bas,’ ujarnya.
Walaupun keresahan yang dialami para jemaah dan pihak GSA tahun lalu dapat dielakkan, Ustaz Tengku Mohd Fouzy, ingin mengingatkan bahawa ibadah haji tidak akan sunyi dari masalah.
‘Ibadah haji dilakukan oleh jutaan umat Islam daripada pelbagai bangsa dan negara. Ia tidak pernah sunyi dari masalah. Namun begitu, apa yang dapat dilakukan pihak AMTAS ialah untuk memastikan masalah-masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik,’ ujarnya.
Selain taklimat kepada bakal jemaah haji, MUIS juga telah mengadakan majlis pentauliahan misi haji di acara yang sama.
Misi Haji Singapura seramai 25 orang diketuai Encik Ismail Abdullah, dan beliau dibantu dua orang pegawai haji MUIS, empat orang doktor, 14 jururawat dan empat penolong pegawai haji.
Encik Ismail juga ingin mengingatkan para jemaah bahawa walaupun tahun ini isu virus Influenza A (H1N1) tidak timbul, mereka harus bersedia hadapi segala kemungkinan.
Sumber: Cyberita Singapore. Ahad. 3/10/2010.
0 comments