ALOR SETAR: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) hari ini mengarahkan agensi Hijjaz Legend Travel and Tours Sdn Bhd membayar RM24,000 kepada enam orang bakal jemaah umrah setelah agensi itu membatalkan pakej umrah mereka.
Presiden TTPM, Datuk Abu Bakar Awang, mengarahkan agensi itu membayar RM4,000 setiap seorang selewat-lewatnya 30 Disember ini selepas mendengar keterangan pihak penuntut dan pihak penentang, dan jika pihak penentang gagal berbuat demikian, kes itu akan dirujuk ke bahagian penguatkuasa.
Dalam pendengaran kes itu, seorang penuntut Zahri Hassan, 53, yang mewakili lima lagi penuntut membuat tuntutan itu selepas agensi itu membatalkan pakej umrah dengan alasan hotel yang bakal menjadi tempat penginapan di Makkah telah runtuh.
“Kami tidak kisah jika pakej itu dibatalkan, tetapi apa yang menyebabkan kami terkilan ialah agensi itu tidak memulangkan semula wang yang kami bayar untuk melaksanakan ibadah umrah,” katanya.
Zahri yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan lima lagi penuntut, berkata mereka membayar sebanyak RM4,000 setiap seorang pada bulan Julai tahun lalu untuk menunaikan ibadah umrah pada Mac tahun ini.
“Tetapi kami diberitahu oleh wakil agensi itu bahawa pakej itu ditangguhkan dan pada 26 Mac tahun ini, wakil tersebut memberitahu bahawa pakej itu dibatalkan dan wang akan dipulangkan pada Jun lalu.
“Tetapi sampai hari ini kami masih belum mendapat semula wang yang kami bayar untuk mengikuti pakej itu,” katanya.
Sementara itu, wakil agensi itu meminta pihak tribunal memberi tempoh sehingga Jun tahun depan kerana mereka mahu mengumpul dana untuk membayar semula kepada semua peserta terbabit tetapi ditolak Abu Bakar.
Sumber: Berita Harian. Isnin. 22/11/2010.
______________
Diharapkan pihak agensi travel umrah yang lain dapat mengambil iktibar atas apa yang telah berlaku.
0 comments