Lapangan Terbang Jeddah Sesak


JEDDAH 21 Nov. - Pegawai tinggi Saudi Arabian Airlines menyalahkan kesesakan sepanjang dua hari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz (KAIA) ke atas penyedia perkhidmatan haji yang tidak membuat perancangan rapi untuk membawa penumpang dari Mekah ke lapangan terbang.

“Kesesakan dan pertambahan jemaah haji untuk kembali ke negara-negara Teluk dan destinasi domestik di KAIA semalam dan kelmarin disebabkan kesilapan jadual membawa jemaah yang mahu berlepas ke lapangan terbang.

“Akibat kesilapan penyedia perkhidmatan haji itu, Saudi Arabian Airlines terpaksa merombak jadual penerbangan dan menyediakan penerbangan lain,” kata penolong ketua pengarah syarikat penerbangan itu, Abdullah al-Ajhar.

Abdullah turut menafikan laporan beberapa laman web yang mengatakan Kuwait menghantar sebuah pesawat untuk membawa rakyatnya pulang dan menyifatkannya tidak berasas.

“Jemaah haji Kuwait dan beberapa jemaah lain pulang ke negara asal menggunakan penerbangan alternatif yang dikendalikan oleh Arab Saudi.

“Tidak ada sebarang penerbangan dari negara Teluk tiba di sini untuk membawa pulang jemaah haji yang telah menunggu di KAIA selama 20 jam,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata enggan mengulas berkenaan laporan palsu.

“Kami menguruskan penerbangan domestik dan antarabangsa untuk lebih setengah juta jemaah haji. Saya tidak menolak akan berlaku sebarang kesilapan, tetapi kami akan akan cuba sebaik mungkin untuk memperbetulkan kesilapan yang timbul dan menyelesaikan masalah pada peringkat awal.” tegas Abdullah.

Beberapa laman web melaporkan Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) membawa pulang rakyat masing-masing selepas jemaah haji dibiarkan menunggu di lapangan terbang Jeddah selama 15 jam.

Sumber: Utusan Malaysia. Isnin. 22/11/2010.

0 comments