Kena Dam Jika Langgar Wajib Haji, Umrah
SAYA sudah mengerjakan umrah pada Syawal tahun lalu dan dimaklumkan tidak dikenakan dam memandangkan tidak mengerjakan haji pada tahun sama. Bagaimanapun, beberapa pendapat yang saya terima pada tahun ini menyatakan ada dikenakan dam. Soalan saya, adakah dikenakan dam terhadap umrah yang saya sudah kerjakan pada bulan haji (bermula Syawal hingga Zulhijjah)? Jika ya, bagaimanakah untuk membayar dam itu?
Jawapan:
TIDAK harus. Dam hanya dikenakan sekiranya anda meninggalkan sesuatu perkara yang wajib atau melanggar sesuatu larangan. Untuk menjelaskan lagi secara ringkas iaitu dam, dari sudut bahasa bererti darah. Dari sudut istilah pula ia bermaksud menyembelih binatang ternakan (seperti unta, lembu, kambing) sebagai denda kerana meninggalkan sesuatu yang wajib atau melanggar sesuatu yang dilarang dalam masa mengerjakan ibadat haji dan umrah.
Ertinya, seseorang yang melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika dalam masa berihram diwajibkan dam. Seseorang yang meninggalkan wajib haji dan umrah diwajibkan dam. Seseorang yang luput wukuf di Arafah selepas berniat ihram wajib dikenakan dam. Seseorang meninggalkan tawaf wada’ tanpa uzur syar’i wajib dikenakan dam. Seseorang yang melanggar nazar dalam masa mengerjakan haji juga dikenakan dam. Seseorang yang terhalang dalam menyempurnakan baki rukun haji atau umrah kerana sebab-sebab tertentu (ihsar), dikenakan dam.
Dam juga dikenakan sebagai syarat wajib haji apabila seseorang melaksanakan haji tamatuk atau Qiran. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Dan sempurnakan ibadat Haji dan Umrah kerana Allah SWT. Maka sekiranya kamu dikepung (iaitu ihsar dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah di dapati. Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.
Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau ada sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah iaitu berpuasa atau bersedekah atau menyembelih dam.
Kemudian apabila kamu kembali aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih dam yang mudah didapati.
Kalau ia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan ibadat haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing) yang semuanya itu 10 hari yang sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidil Haram (Makkah). Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah SWT. Dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan siksa-Nya (terhadap orang yang melanggar perintah-Nya).”
Dam terbahagi kepada empat iaitu:
1. Dam tertib dan taqdir.
Maksud tertib iaitu melakukan satu dam yang ditetapkan jika tidak mampu, lakukan dam berikutnya yang ditetapkan. Manakala taqdir pula iaitu kadar dam yang telah ditetapkan oleh syarak. Contohnya, seseorang yang mengerjakan haji Tamatttu’ atau Qiran, hendaklah ia melaksanakan dam iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah berpuasa 10 hari (iaitu 3 hari di masa haji dan 7 hari apabila ia pulang ke tempatnya), sekiranya tidak mampu juga disebabkan tua, hendaklah dikeluarkan satu cupak tiap-tiap satu hari (sebanyak 10 cupak).
2. Dam tertib dan ta’dil.
Maksud ta’dil apabila seseorang tidak berkuasa mengeluarkan makanan, hendaklah ia ganti dengan berpuasa. Contohnya, seseorang yang melakukan persetubuhan, maka si suami dikenakan dam iaitu menyembelih seekor unta, jika tidak mampu hendaklah ia menyembelih seekor lembu, jika tidak mampu hendaklah digantikan dengan tujuh ekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor unta dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Haram. Jika tidak mampu, hendaklah ia berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor unta.
3. Dam takhyir dan Taqdir
Maksudnya ketetapan kepada barang yang boleh diganti. Contohnya seseorang yang memakai pakaian yang dilarang dalam ihram atau memotong kuku, maka dam yang dikenakan menyembelih seekor kibas (atau kambing atau 1/7 unta). Sekiranya tidak mampu, bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan tiap-tiap seorang. Sekiranya tidak mampu, berpuasa tiga hari.
4. Dam dan Ta’dil.
Takhyir ertinya boleh memilih satu daripada perkara-perkara yang ditetapkan. Contohnya, memburu binatang yang halal dimakan atau mencabut pokok. Dam yang dikenakan iaitu menyembelih binatang mengikut binatang yang diburu. Jika rusa, bandingannya ialah lembu, jika kijang, bandingannya ialah kambing dan seumpamanya.
Jika tidak mampu, hendaklah membeli makanan dengan nilai harga binatang sebagai bandingan dan dibahagikan kepada fakir miskin di Makkah. Sekiranya tidak mampu hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan harga nilainya iaitu satu cupak satu hari. Wallahua’lam.
Sumber: Berita Harian. Ahad. 24/10/2010.
0 comments