Dakwah Melalui Pelancongan Masjid






Serangan ke atas World Trade Center di Amerika Syarikat (USA) pada tanggal 9 November 2001 mencetuskan ‘fenomena’ terhadap Islam. Biarpun ia mencetuskan Islamophobia tetapi agama suci yang dijamin membawa penganutnya ke syurga itu terus subur. Malah, statistik membuktikan, insiden itu mengundang perasaan ingin tahu di kalangan penduduk bukan Islam. Ramai yang pada awalnya mengkaji untuk mencari keburukan Islam akhirnya mengucap syahadah. Semuanya selepas melihat keindahan dan kebenaran yang terkandung di dalam agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW lebih 1,432 tahun hijrah yang lalu.

Apa yang penting, umat Islam perlu mengambil peluang daripada situasi ini terutamanya dalam berdakwah kepada orang bukan Islam. Ia supaya mereka memahami Islam sebagai mana yang diajar oleh Rasulullah dan yang terkandung di dalam al-Quran. Antara lokasi atau ikon untuk mendekati Islam sudah tentu adalah masjid. Maka, umat Islam perlu menggunakan peluang yang ada untuk memperkenalkan Islam kepada golongan ini. Ia boleh dilakukan melalui dakwah bil hal (melalui perbuatan) selain dakwah bil lisan (dakwah melalui tulisan atau kata-kata).

Ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. (an-Nahl: 125)

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Inilah yang dikongsi oleh bekas ahli geologi, Syed Raziuddin Ali, anak kelahiran India yang kini menetap di Bahrain. Beliau adalah pengasas Discover Islam yang ditubuhkan pada 1987 di Bahrain. Antara matlamat utama adalah mendekati golongan bukan Islam melalui dakwah. Beliau juga berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pengajar Program Pemandu Pelancongan Masjid (ATMT) di negara tempat tinggalnya selain menerbitkan beberapa makalah pengenalan tentang Islam. Katanya, program ATMT berkesan dalam memberi kesedaran tentang kesucian dan budaya Islam kepada golongan bukan Islam.

“Setakat ini, ia telah berjaya di Bahrain selama 13 tahun dan Malaysia (tiga tahun). Ia juga telah diperkenalkan di beberapa negara seperti Oman, Singapura, Turki dan Sri Lanka.

“Pendek kata, ia adalah peluang terbaik memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam,” jelasnya.


Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Konsep Kesedaran Pelancongan di Masjid’ pada Konvensyen Kesedaran Dakwah Melalui Pelancongan Masjid di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor, baru-baru ini. Konvensyen enam hari itu adalah anjuran ILIM, Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia, Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti (KESUMA) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pelancongan Malaysia.

Perasmiannya dilakukan oleh Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahbudin Yahaya yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau turut melancarkan buku Pelancongan Masjid di Malaysia terbitan Kesuma. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Abd. Halid Sintol.

Mengulas tentang polemik membenarkan orang bukan Islam melawat masjid, Syed Raziuddin berkata, pada asasnya, Islam membenarkan mereka melawat masjid dengan syarat mematuhi syarat tertentu. Antaranya, memakai pakaian menutup aurat, menghormati kesucian masjid dan mendapat kebenaran pengurusan masjid. Katanya, ini berdasarkan Nabi SAW pernah membenarkan puak kristian Najran dan Thaqiq memasuki masjid.

“Tambahan pula, ini menjadi pendekatan dakwah yang lebih berkesan secara bersemuka kerana mereka yang datang kepada kita (masjid).

“Ia sekali gus dapat menjadi jambatan menghubungkan budaya selain masjid adalah tempat paling baik membicarakan soal ketauhidan," katanya.

Seorang lagi pembentang kertas kerja ialah Koordinator Kanan, Pusat Islam Ahmad Al Fateh, Bahrain, Farahat Mohammed AlKindy. Katanya, perasaan ingin tahu mengenai Islam di kalangan mereka yang bukan Islam makin meningkat dan menyebabkan mereka ke masjid bagi mendapatkan jawapannya. Antara kemusykilan besar dalam pemikiran mereka adalah berkaitan aurat wanita Muslim dan kedudukan mereka dalam masyarakat.

“Keadaan ini dibantu oleh liputan media Barat yang selalunya memaparkan aspek negatif umat Islam terutamanya dikaitkan dengan aktiviti pengganas,” katanya.

Oleh itu, Farahat berkata, umat Islam khususnya di Malaysia mesti mengambil peluang kelebihan itu untuk mempromosikan agama tersebut melalui program pemandu pelancong di masjid. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang disegani di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin jika pelancongan masjid itu dijalankan secara sistematik dengan sukarelawan yang dilatih secukupnya, lebih ramai akan tertarik dengan Islam,” tambahnya.

Menurut Farahat, antara negara yang menjadikan pelancongan Islam sebagai punca pendapatan adalah Turki. Katanya, antara pakej penting menjayakan program tersebut adalah pemandu pelancong yang boleh memberi maklumat tepat dengan Islam selain mempunyai akhlak yang baik.

“Dalam hal ini, first impression amat penting. Kita perlu gunakan pendekatan berhikmah dalam berdakwah. Mudah-mudahan cara sedemikian boleh menarik orang bukan Islam kepada agama ini,” jelasnya.

Ini penting sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam... (Ali-‘Imran: 19)

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ

Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 4/1/2011.

0 comments