Pakej Bawah RM4,000 Tak Munasabah

JABATAN Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) sedang mengenal pasti mekanisme paling berkesan bagi mengelak bakal jemaah haji dan umrah daripada dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu mengaut keuntungan melalui cara mudah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anan C Mohd, berkata mekanisme terbaik akan digubal menjadi peraturan yang membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang melakukan penipuan pakej ibadat berkenaan.

“Kajian JAWHAR terhadap kes penyelewengan pengelolaan umrah mendapati ramai jemaah tidak berpuas hati di atas kegagalan penganjur mengurus perjalanan ibadat itu, antaranya tidak menyediakan kemudahan seperti dijanjikan, perubahan jadual perjalanan pada saat akhir dan masalah pengangkutan.

“Begitu juga dengan jarak di antara hotel penginapan dan Masjidil Haram tidak seperti diiklankan dan perkhidmatan mutawif yang tidak cekap,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pengembaraan Luar Negara, Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Jeffri Sulaiman, berkata tawaran pakej umrah semurah RM4,000 ke bawah tidak munasabah mengikut keadaan semasa dengan tiket penerbangan untuk ke Tanah Suci saja sekarang sudah mencecah sekitar RM3,000.

“Itu belum termasuk perbelanjaan lain dan kos penginapan seminggu di sana. Jumlah RM1,000 ke bawah untuk perbelanjaan selama seminggu di Tanah Suci, untuk penginapan, makan minum dan perkhidmatan lain memang tidak munasabah dan tidak masuk akal.

“Biasanya, kos asas paling murah untuk umrah sekarang adalah dari serendah RM4,000 sehingga RM7,000 bergantung pada musim umrah dan perkhidmatan disediakan agensi pelancongan,” katanya sambil menasihatkan bakal jemaah memeriksa dulu latar belakang syarikat penganjur pakej dengan Kementerian Pelancongan atau MATTA sebelum membuat pembayaran.

Jemaah juga, katanya, perlu memastikan pakej yang dilanggan mempunyai perlindungan insurans bagi memastikan mereka dilindungi dan diberi pampasan jika berlaku kejadian tidak diingini seperti penipuan.

Sumber: Berita Harian. Ahad. 12/6/2011.

0 comments