الحمد لله وسلام على
عباده الذين اصطفى، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده
ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.
أما بعد، فيا عباد الله،
اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون. قال تعالى في كتابه العزيز:
وَمِنْ آيَاتِهِ اللَّيْلُ
وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ لا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا
لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (٣٧)
Sidang
Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Saya
berpesan dengan diri saya dan juga kepada sekalian jemaah agar kita benar-benar
bertakwa kepada Allah SWT dengan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi
segala larangan-Nya. Semoga dengan itu hidup kita sentiasa di bawah rahmat dan
lindungan Allah SWT.
Sidang
Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Sebagai
umat Islam kita mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa Allah SWT adalah
pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan
seumpamanya adalah di bawah kekuasaan Allah SWT yang maha berkuasa
menggerakkannya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara
berganti-ganti, matahari dan bulan beredar di waktu siang dan malam adalah atas
kudrat dan iradat Allah SWT dan ianya mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri.
Hari
ini kita diperlihatkan dengan kuasa Allah SWT yang maha agung iaitu kejadian
gerhana bulan. Gerhana ini berlaku ketika bulan berada bertentangan dengan bumi
dan terlindung daripada matahari, ini bermakna bulan boleh termasuk ke dalam
bayang bumi dan menghilang. Begitulah kehebatan kekuasaan Allah yang mampu
mengubah segalanya di langit dan bumi pada bila-bila masa yang tidak ada satu
kuasa lain yang dapat menyekat Qada’ dan Qadar. Allah SWT berfirman dalam surah
al-Fussilat ayat 37:
وَمِنْ آيَاتِهِ اللَّيْلُ
وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ لا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا
لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (٣٧)
Ertinya:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan
bulan. Janganlah sembah matahari mahu pun bulan tetapi sembahlah Allah yang
menciptakannya, jika kamu hendak sembah”.
Oleh
itu jika berlaku kejadian gerhana matahari atau bulan, ianya bukanlah merupakan
suatu tanda akan timbul kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, tetapi gerhana
itu berlaku atas sifat wajib bagi Allah SWT iaitu berkehendak dan berkuasa atas
segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun di dunia
ini.
Sidang
Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Setiap
perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah yang tersendiri.
Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya
mengandungi hikmat yang tertentu, antaranya memberi peringatan agar hamba-Nya
tidak melampaui batas. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:“ Bahawasanya
matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan
Allah SWT. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan
bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana
kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. Maka apabila
kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah
kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari
atau bulan tersingkap semula bagi kamu” .
Gerhana
bulan merupakan amaran Allah SWT untuk seluruh manusia agar patuh dan taat di
atas perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dan akan berlaku sepanjang
zaman sebagai peringatan Allah SWT di atas segala ketelanjuran yang dilakukan
oleh hamba-Nya. kejadian ini akan berterusan sehingga matahari dan bulan dihimpunkan dan ketika itu berlakunya kiamat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah ayat 7-9:
فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ
(٧) وَخَسَفَ الْقَمَرُ (٨) وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ (٩)
Ertinya: “Maka apabila mata terbelalak(ketakutan),
dan apabila bulan telah hilang cahayanya dan matahari dan bulan dikumpulkan”.
Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW ketika berlaku
gerhana supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan
seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar
dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta
perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam. Ummul mukminin
Saidatina Aishah RH berkata dalam riwayat al-Nasai yang mafhumnya: “Dan
sesungguhnya telah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah
dihadapan orang ramai sambil memuji Allah SWT dan sesungguhnya matahari dan
bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan
disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana
matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan
bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: "Wahai
umat Muhammad, jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa
dan banyak menangis ”.
Mimbar mengharapkan kejadian gerhana bulan ini akan
menimbulkan keinsafan, kesedaran, menambah serta menguatkan lagi keimanan dan
ketakwaan kita kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali
‘Imran ayat 190– 191:
إِنَّ
فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَاخْتِلافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لأولِي
الألْبَابِ (١٩٠) الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى
جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ
هَذَا بَاطِلا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (١٩١)
Ertinya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan
bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah)
bagi orang-oang yang berakal Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah
semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula
memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami!
Tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka
peliharalah kami dari azab neraka”.
Mengakhiri khutbah, marilah kita berdoa kepada Allah
SWT semoga gerhana yang berlaku ketika ini tidak mengakibatkan berlakunya
malapetaka alam seperti perubahan angin yang memungkinkan kesan kepada cuaca
dan musim yang memberi kesan kepada perubahan tabii tumbuh-tumbuhan dan
tanam-tanaman serta kehidupan di dunia. Sebagai usaha untuk melahirkan
keteguhan dan mengekalkan kekuatan iman yang ada dalam diri umat Islam, mimbar
menggariskan beberapa nasihat untuk dijadikan pedoman bersama.
Pertama: Berfikir dan bertafakkur setiap kejadian
fenomena alam.
Kedua: Memperingati tentang nikmat syurga dan azab
neraka.
Ketiga: Menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada
Pencipta iaitu Allah SWT.
Keempat:Menghitung, mempertingkatkan dan
memperkemaskan amal kebajikan sepanjang masa dan
Kelima: Bersegera memohon taubat kepada Allah SWT di
atas kealpaan dan keingkaran mentaati
perintah.
بارك
الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الأيات والذكر الحكيم
وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم
لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه فيا فوز
المستغفرين ويا نجاة التائبين.
Sumber:
Khutbah JAKIM.