LAUNGAN “25
Riyal! 25 Riyal!...Mari ibu, hajah-hajah, mari beli! Murah, murah” daripada
peniaga, kedengaran di lorong-lorong di luar Masjid Nabawi menyambut jemaah
yang baru selesai menunaikan solat mereka. Yang menariknya bahasa yang sering
digunakan peniaga-peniaga ini ialah Melayu.
Penulis yang
berada di tanah suci Madinah baru-baru ini, mendapati penggunaan Bahasa Melayu
semakin meluas dan lebih ramai menggunakannya terutama dalam kalangan peniaga. Sememangnya,
sekitar minggu terakhir bulan Mei sehingga pertengahan Jun, ramai pengunjung
terdiri daripada warga Malaysia, berada di Madinah.
Sempena cuti
sekolah, ramai yang turut membawa anak-anak mereka menziarah kota Madinah
sebelum ke tanah suci Mekah melakukan ibadah umrah. Peniaga-peniaga di Madinah
kebanyakannya datang dari negara-negara yang berjiran dengan Arab Saudi
termasuk Afrika.
Mereka menjual
jubah berbunga dengan labuci dan perada emas atau perak, kain tudung, barang
perhiasan diri yang diperbuat daripada plastik dan lain-lain, serta pakaian
lelaki dan perempuan, untuk dibeli jemaah sebagai tanda mata dibawa pulang
untuk rakan dan sanak saudara di tanah air masing-masing.
Kebanyakan
peniaga bagaimanapun tidak mempunyai lesen dan mereka akan lari bertempiaran
apabila melihat pegawai penguatkuasa datang. Kadang kala ini berlaku ketika
pembeli dan peniaga sedang tawar menawar.
Apabila peniaga
lari, ada yang meninggalkan saja barangan lelongan mereka. Pembeli pula takut
untuk berganjak dan menunggu penjual itu datang semula.
Adakalanya,
peniaga hanya menarik kain alas yang digunakan untuk menghampar barang jualan
di atasnya, diikat seperti satu bunjutan besar dan lari bersembunyi di balik
tiang-tiang di seberang jalan atau di dalam kedai-kedai di tepi jalan utama,
yang jaraknya hanya kira-kira 200 meter dari Masjid Nabawi.
“Saya suka
berebut-rebut membeli barang-barang di lorong lelong ni selepas solat waktu,
terutama waktu Isyak,” kata Zaleha Abdul Aziz, 50, dari Selangor. Zaleha yang
tiba pada 31 Mei lepas bersama suami dan anak-anak untuk menunaikan Umrah di
tanah suci Mekah, berkata, udara agak sejuk ketika itu.
Lorong-lorong di
antara Hotel Al Anwar Movenpick, Hotel Intercontinental dan lain-lain, menjadi
bazar sementara yang dibuka mengikut waktu tertentu terutama selepas waktu
solat.
Jika pembeli
tahu bahasa Arab dan membeli secara pukal, mereka boleh mudah menawar harga dan
mendapat diskaun.
Rata-rata
peniaga jalanan menjual barang-barang mereka pada harga yang serupa oleh itu
pelanggan tidak ada pilihan lain.
“Harga di dalam
kedai pun lebih kurang juga tetapi kerana cuaca pada musim panas ini cepat
meletihkan, saya lebih minat membeli apa saja yang boleh didapati di dalam
perjalanan balik ke hotel. Tak perlu keluar lagi, cuma perlu bawa wang yang
mencukupi.
“Kita hanya
perlu memeriksa jahitan jubah atau skaf untuk memastikan tiada yang koyak atau
rosak,” jelas Sharifah Zakiah Syed Alwi, yang membeli barang untuk diberikan
kepada sahabat handai dan sanak saudara di kampung halaman.
Ramai yang
bimbang mengeluarkan wang besar kerana peniaga sering mendakwa tiada wang tukar
untuk dipulangkan. Walaupun ada pengurup wang yang berdekatan, tetapi sering
dikerumuni pengunjung yang baru tiba untuk menukar mata wang.
Jemaah yang
menjejakkan kaki buat kali pertama di kota Madinah pasti tidak mahu ketinggalan
melawat ladang tamar yang terletak tidak jauh dari kawasan ‘Jabal’ atau
gunung-ganang yang mempunyai kepentingan di dalam sejarah Islam.
Antara tempat
ziarah yang dikunjungi dan diatur ejen pelancongan untuk jemaah dari Malaysia,
ialah Jabal Uhud (جبل أحد) dan Jabal Thour (جبل ثور),
kawasan ‘Wadi’ (الوادي) atau tanah subur yang menghijau, pasar
tamar dan masjid termasuk Masjid Quba’ (مسجد قباء),
Qiblatain (مسجد قبلتين) dan Masjid Tujuh (المساجد السبعة).
Kos hotel di
Madinah agak tinggi terutama yang terletak berhampiran Masjid Nabawi,
sekurang-kurangnya SR550 (atau RM440) satu malam, untuk bilik berkongsi dua,
pada bulan Mei hingga Julai.
“Harga untuk
bulan Ramadan belum ditentukan lagi,” jelas seorang petugas kaunter di Hotel
Intercontinental. Harga bilik paling murah di hotel bertaraf lima bintang ini
ialah SR650 (RM520) satu malam. Hotel ini terletak hanya 50 meter dari Masjid
Nabawi. — BERNAMA
Sumber: Utusan Malaysia. Rabu.
13/7/2011.