Oleh Mohd. Radzi
Mohd. Zin
Semua umat Islam
menyedari kewajipan menunaikan haji ke Baitullah bagi mereka yang berkemampuan
dari segi kewangan, kesihatan dan keselamatan dalam perjalanan. Bagaimanapun,
disebabkan peraturan atau sistem kuota yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab
Saudi, maka bilangan jemaah haji setiap tahun dihadkan.
Langkah itu
bertujuan memastikan semua jemaah haji selesa mengerjakan ibadat tersebut.
Sebabnya, jika tidak dihadkan, bilangan jemaah haji setiap tahun pasti
meningkat dengan banyaknya sehingga menyukarkan beribadat dengan sempurna.
Pada masa yang
sama, kuota itu juga memberi masa secukupnya untuk bakal-bakal haji mendalami
selok-belok dan hukum hakam berkaitan manasik haji.
Sebabnya, haji
biarpun mudah disebut, tetapi adalah ibadat yang paling sukar dilaksanakan
kerana memerlukan kefahaman secukupnya selain kekuatan fizikal dan mental.
Atas kesedaran
itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading (SMKBG) di Sungai Pelong, Sungai
Buloh, Selangor, memperkenalkan Kursus Simulasi Haji kepada pelajar tingkatan
lima sekolah tersebut, 9 Julai lalu.
Kursus yang
diadakan mulai pukul 8.30 pagi sehingga 1 tengah hari itu mendapat sambutan
menggalakkan apabila disertai oleh 180 pelajar. Ia dikendalikan dengan
kerjasama Tabung Haji (TH), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Ia terbahagi
kepada dua iaitu penerangan tentang konsep dan teori ibadat haji yang
diterangkan pada sebelah pagi, manakala praktikalnya selama kira-kira dua jam
diadakan mulai pukul 11 pagi.
Ceramah dan sesi
praktikal disampaikan oleh pembimbing haji, Md. Roslan Mohammad Jaafar yang
berpengalaman selama 25 tahun dalam urusan haji dan umrah. Turut serta ialah
Pengetua SMKBG, Siti Endon Mohamad Dahlan.
Antara praktikal
yang dilaksanakan adalah memakai ihram bagi lelaki, bergerak dari Mekah ke
Muzdalifah sambil bertalbiah, mengutip batu di Mina, melontar jamrah, tahalul,
tawaf dan saie.
Ketua Unit
Pentadbiran TH, Abdul Halim Dolmat memberitahu, kursus itu diadakan untuk ahli
Kelab Tabung Haji (Taha) di sekolah-sekolah yang mempunyai akaun simpanan
dengan TH.
Katanya, selain
itu ia juga bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang
pelaksanaan ibadat haji agar memudahkan mereka memahami rukun, wajib haji serta
pantang larang semasa ihram dan sebagainya.
“Ini juga adalah
antara usaha mempromosi dan memperkenalkan TH kepada masyarakat terutama kepada
golongan pelajar sekolah,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Sementara itu,
Ketua Panitia Pendidikan Islam SMKBG, Maznah Redzwan memberitahu, program itu
diadakan untuk membantu pelajar lebih memahami pelaksanaan ibadat haji kerana ia
termasuk dalam silibus Lambaian Kaabah di tingkatan empat.
Katanya, sebelum
ini, kursus yang serupa pernah diadakan, tetapi ia tidak melibatkan simulasi
haji yang turut membawa sama modul kaabah dan tempat melontar jamrah.
“Adalah diharap
para pelajar akan dapat memahami dan membayangkan keadaan sebenar di Mekah
dengan adanya modul-modul dalam kursus ini,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 19/7/2011.