Soalan 15


Tidur Di Dalam Masjid

Soalan:

Saya kurang bersetuju dengan tindakan sesetengah pihak berkuasa masjid di negara kita yang melarang orang ramai tidur di dalamnya. Harap ustaz dapat menerangkan keadaan ini.

Jawapan:


Salah satu kesilapan yang sering berlaku di masjid di negara kita ialah larangan untuk tidur di dalam masjid.

Sering kita lihat adanya notis “Dilarang tidur di dalam masjid” dan seumpamanya, malah ada sesetengah masjid membuat pengumuman dengan pembesar suara sebagai langkah serius kepada mereka yang “tidak patuh” kepada arahan.

Tindakan larangan itu sebenarnya bertentangan dengan amalan Baginda SAW dan para Sahabat jika kita fahami betul-betul sirah dan sunnah Baginda.

Di sini, dikongsi bersama beberapa dalil sebagai hujah yang membolehkan tidur di dalam masjid:

1. Daripada Abdullah bin Zaid r.a, beliau melihat Rasulullah SAW terlentang di dalam masjid sambil meletakkan salah satu daripada kedua-dua belah kakinya di atas kaki yang lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Abdullah bin Umar mengatakan bahawa Rasulullah SAW disibukkan oleh suatu urusan dan terlambat untuk solat Isyak. Ketika itu ada antara mereka yang tertidur di dalam masjid, kemudian bangun. Seketika kemudian mereka tertidur lagi dan bangun kembali. Selepas itu, Rasulullah SAW datang kepada mereka dan Baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun penduduk bumi yang menantikan solat selain kamu.”

Ibn Umar tidak peduli sama ada melakukan solat pada awal waktu, kecuali beliau berasa bimbang kerana terlelap tidur sehingga dia lalai daripada menunaikan solat dan beliau sering tidur sebelum Isyak. (Riwayat al-Bukhari)

3. Imam al-Syafi’I berpendapat bahawa tidak makruh tidur di dalam masjid dengan hadis yang kuat sebagaimana yang terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Daripada Ibn Umar r.a, beliau berkata: “Saya suka tidur di dalam masjid sedangkan saya seorang pemuda yang belum berkahwin.”

4. Terdapat hadis yang menyatakan bahawa ahli suffah (sahabat-sahabat Nabi SAW yang miskin, tidak ada rumah dan tidak berharta) tidur di dalam masjid. Selain itu, terdapat hadis dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim bahawa Sayidina Ali r.a dan Safwan bin Umayyah pernah tidur di dalam masjid.

Begitu juga seorang perempuan tukang selempang yang suka tidur di dalam masjid. Thumamah bin Athal juag suka menginap di masjid sebelum beliau memeluk Islam. Semua itu berlaku pada zaman Rasulullah SAW. (Al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 173-174)

Sumber:
Majalah Solusi Isu 40.

0 comments