1.3 KELEBIHAN MENUNAIKAN HAJI

Orang yang mengerjakan ibadat haji akan memperolehi pelbagai kelebihan dan ganjaran daripada Allah SWT. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah mengerjakannya dengan ikhlas kerana Allah SWT. Antara kelebihannya adalah seperti berikut;

i) Mendapat Ganjaran Haji Mabrur (مبرور).

Orang yang menunaikan ibadat haji dengan sempurna akan mendapat haji mabrur.

Sabda Rasulullah SAW:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةَ.
رواه البخاري ومسلم

Maksudnya: “Di antara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tiada balasan bagi haji yang mabrur (diterima) melainkan syurga”.
Riwayat al-Bukhariy dan Muslim

Keterangan Hadis:

Orang yang mengerjakan ibadat umrah hingga ke satu umrah akan mendapat pengampunan dosa, dan haji yang mabrur tiada lain ganjarannya kecuali syurga.

ii) Jihad Yang Paling Utama.

Mengerjakan haji merupakan jihad yang paling utama bagi menundukkan nafsu. Pahalanya sangat besar di sisi Allah SWT sebagaimana yang terdapat dalam hadis berikut:

عنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الأَعْمَالِ، أَفَلا نُجَاهِدُ؟ قَالَ: لا، لَكِنْ أَفْضَلُ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ.
رواه النسائي

Maksudnya: “Daripada Aishah Ummul-Mukminin r.a katanya: Wahai Rasulullah SAW kami berpendapat jihad adalah amalan yang paling utama, mengapakah kami tidak diberi peluang berjihad?
Jawab Baginda Rasulullah SAW: Bagi kamu terdapat jihad yang lebih utama (bagi menundukkan hawa nafsu) iaitu haji mabrur”.
Riwayat al-Nasa’iy

iii) Bersih Seperti Bayi Yang Baru Dilahirkan

Orang yang mengerjakan haji tanpa cacat cela serta mengikut segala syarat, rukun, wajib dan adab haji, akan bersih dari segala dosanya sama seperti bayi yang baru dilahirkan.

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتِ وَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ ، فَرَجَعَ كَانَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ.
رواه البخاري ومسلم – واللفظ للبخاري

Maksudnya: “Sesiapa mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan rafath (رفث) (iaitu larangan bercampur dengan isteri termasuk juga segala yang menimbulkan nafsu berahi, sama ada dengan perbuatan atau perkataan) dan fusuq (فسوق) (iaitu larangan maksiat, ternnasuk segala yang dilarang dalam masa mengerjakan Haji seperti berburu dan lain-lainnya) jadilah keadaan dirinya bersih seperti baru dilahirkan oleh ibunya”.
Riwayat al-Bukhariy dan Muslim - lafaz al-Bukhariy

iv) Menjadi Tetamu Agung Kepada Allah SWT.

Orang yang mengerjakan haji di Tanah Suci merupakan tetamu agung kepada Allah SWT dan mendapat kemuliaan daripada-Nya. Sabda Rasulullah SAW:

الْحُجَّاجُ وَالْعُمَّارُ وَفْدُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ إِنْ دَعَوْهُ أَجَابَهُمْ وَإِنِ اسْتَغْفَرُوهُ غَفَرَ لَهُمْ.
رواه النسائي  وابن ماجه

Maksudnya: “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu agung kepada Allah SWT sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah SWT perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah SWT ampunkan mereka”.
Riwayat al-Nasa’iy dan Ibnu Majah

v) Didoakan Keampunan Oleh Rasulullah

Rasulullah mendoakan keampunan dosa bagi mereka yang mengerjakan haji, sebagaimana doa Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْحُجَّاجِ، وَلِمَنِ اسْتَغْفَرَ لَهُ الْحَاجُّ.
رواه الحاكم، وقال: صحيح على شرط مسلم

Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah (dosa-dosa) orang yang menunaikan haji dan (dosa-dosa) orang yang dipohon oleh orang yang mengerjakan haji”.
Riwayat al- Hakim - katanya sahih mengikut syarat Muslim. 

0 comments