Maksud Mampu Dalam Menunaikan Haji


Soalan:

Kita telah maklum bahawa orang yang diwajibkan melaksanakan ibadat haji ialah orang yang mampu. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan “mampu”?

Jawapan:

MUKADIMAH: Terlalu banyak isu haji yang dibincangkan dan dimuzakarahkan dari tahun ke tahun, termasuk usaha yang telah dilakukan begitu lama oleh Lembaga Tabung Haji Malaysia (LUTH). Ini menunjukkan betapa penting dan mustahaknya bagi bakal jemaah haji dan umrah memahami selok-belok hukum dan permasalahan ibadat haji dan umrah.

Kemampuan dalam bahasa Arab adalah istita’ah. Manakala menurut istilah, ia bermaksud mampu melaksanakan ibadat haji sama ada secara langsung atau tidak. Ibadah haji dan umrah hanya wajib bagi orang yang berupaya dan berkemampuan. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah Ali ‘Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” Begitu juga skop istita’ah itu sendiri, adakalanya melibatkan kenderaan yang menyampaikan seseorang ke Makkah dan juga mempunyai bekalan.

Soalan:

Adakah itu sahaja atau boleh dilebarkan lagi perbincangannya kepada yang lain, seperti sakit dan lain-lain lagi?

Jawapan:

Terdapat dua pandangan:
1 Imam al-Syafi’i dan selainnya menganggap keuzuran yang menggugurkan haji, sekalipun dia mengambil sedikit sahaja.

2 Di sisi mazhab Maliki, tidak dianggap keuzuran kecuali diambil berulang kali. Dalam buku Istita’ah; Pengertian syarat dan permasalahan hukum menyatakan tentang perjalanan yang aman sama ada nyawa dan harta benda. Sekiranya berasa bimbang terhadap dirinya daripada penyamun, perompak, wabak penyakit dan harta, maka dia termasuk orang yang tidak mempunyai istita'ah. Ini bertepatan dengan kaedah yang bermaksud: “Bahawa setiap tindakan yang membawa kerosakan atau yang menolak kemaslahatan, maka ia ditegah.”

Soalan:

Sekiranya kita bimbang keselamatan tidak terjamin tetapi hanya melalui sangkaan, adakah itu mencukupi?

Jawapan:

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Keselamatan bermaksud keselamatan nyawa, harta orang yang mengerjakan haji itu sepanjang jalan, yang akan dilalui dan tempat yang sepatutnya diziarahi, walaupun hanya secara berat sangka (zanni)." Secara ringkasnya, ia bermaksud keselamatan pada keseluruhannya. Jika seseorang itu berasa tidak selamat atau bimbang terhadap keselamatan nyawanya, isterinya atau hartanya kerana ada binatang buas, musuh, perompak atau penyamun (yang menunggu mereka) dan jalan-jalan lain yang selamat tidak ada, maka pada ketika itu, haji tidak wajib atasnya kerana bencana dan ancaman tersebut.

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan kesihatan? Adakah orang yang sudah tua wajib mengerjakan haji?

Jawapan:

Dr. Usamah bin Ibrahim Filali dalam kertas kerjanya yang bertajuk - Istita’ah fi al-Haj wa al-Mutaghayyirat al-Mu’asirah berkata: “Ulama yang thiqah telah menekuni isu ini dengan berijtihad, ia mengandungi mukalaf yang sihat tubuh badan:
Jika lemah dengan sebab tua atau sakit, yang tiada peluang untuk sembuh, hendaklah dia mewakilkan kepada orang lain untuk melakukan haji untuknya.
Dalam mazhab Hanafi, haji tidak wajib bagi mereka yang sakit, tidak berupaya, lumpuh, mati sebelah tubuh dan orang buta walaupun ada pemandu. Begitu juga orang tua yang tidak boleh duduk tetap di atas kenderaan, orang yang terkurung dan ditahan oleh penguasa yang zalim daripada melakukan haji. Ini kerana Allah s.w.t. meletakkan kemampuan sebagai syarat diwajibkan haji, yang bermaksud kemampuan memikul segala tanggungjawab, iaitu mempunyai segala punca dan kemudahan yang balk dan sempurna, yang boleh menyampaikannya ke sana.

Soalan:

Adakah pesakit buah pinggang diwajibkan menunaikan haji?

Jawapan:

Hal ini masih lagi dalam perbincangan istita’ah. Imam al-Nawawi rhm. dalam kitabnya, al-Idah menyebut, “Istita’ah yang terhasil daripada orang lain sebenarnya dikira lemah berbanding melakukan haji dengan dirinya sendiri dengan sebab kematian, sakit tua atau sakit yang tidak ada harapan sembuh, atau yang amat tua sehingga tidak mampu tetap atas tunggangan (kenderaan) kecuali dalam keadaan yang sukar. Yang lemah seperti ini masih hidup dinamakan dengan ma’dub (معضوب)”.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-84 telah memutuskan bahawa:
1 Pesakit yang menghidap penyakit kronik, yang tidak ada harapan untuk sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya, tidak wajib menunaikan ibadah haji.

2 Pesakit kronik wajib melaksanakan ibadah haji sekiranya berkemampuan dari sudut kewangan.

3 Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan haji jika berkemampuan.

Semoga Allah s.w.t. kurniakan kepada kita pengetahuan dan ilmu berkaitan ibadat haji ini yang membawa kepada kita menggapai haji yang mabrur, amin.

Ö Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Lulusan ljazah Syariah di Universiti Islam Madinah. Berpeluang belajar secara tafaqqi dengan beberapa prang ulama besar di Madinah, kemudian melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di Syria dan PhD di Universiti Sains Malaysia (Syariah). Berpengalaman sebagai ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan dan Terengganu dan Pengerusi Majlis Syariah Bank Pertanian Malaysia (sejak 2006).

è al-Ustaz Isu No 2.

2 comments