Soalan 7

Soalan:

Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa dalam keadaan bersih dan suci daripada hadas dalam menunaikan ibadat. Namun, bagaimanakah jika seseorang wanita didatangi haid selepas tawaf dan sebelum sai’e?

Jawapan:

Perempuan yang mengalami haid tidak dilarang melakukan ibadat-ibadat haji dan umrah melainkan tawaf dan sembahyang sunat untuk ihram. Apabila dia melakukan tawaf dalam keadaan suci kemudian keluar darah setelah selesai tawaf atau ketika sedang sai’e, maka dia boleh melakukan sai’e dan menyempurnakannya tanpa apa-apa halangan kerana tidak diisyaratkan melakukan sai’e dalam keadaan bersuci.

Sayyid Sabiq (السيد سابق) menyebut melalui kitabnya Fiqh al-Sunnah (الفقه السنة) bahawa kebanyakan ahli ilmu berpendapat, tidak disyaratkan bersuci ketika sai’e di antara Safa dan Marwah kerana sabda Nabi SAW:

افْعَلِي مَا يَفْعَلُهُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوْفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِيْ

Maksudnya: Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang menunaikan haji, namun jangan melakukan tawaf di Baitullah melainkan setelah kamu suci.
(HR al-Bukhari, no. 290 dan Muslim, no. 1211)

Aisyah r.a dan Ummu Salamah r.a berkata: “Apabila perempuan melakukan tawaf di Baitullah dan selesai solat dua rakaat kemudian datang haid, maka ia hendaklah bersai’e di Safa dan Marwah.”
(HR Ibn Abi Syaibah, no. 14396)

Seterusnya Sayyid Sabiq berkata: “Sekalipun perkara tersebut amat digalakkan agar seseorang sentiasa berada dalam keadaan suci ketika menunaikan segala ibadatnya dan bersuci adalah perkara yang digalakkan dalam syarak.”

Penulis menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-ldhah (الإيضاح) yang menyebut antara lain: Taharah dan bersuci adalah termasuk dalam sunat-sunat sai’e sahaja. Penulis mengemukakan teks kenyataannya dalam kitab al-Taudhih (التوضيح) hal 186: Sunat bersai’e dalam keadaan taharah (bersuci) dan menutup aurat. Jika dia melakukan sai’e dalam keadaan terdedah auratnya, berhadas, berjunub, haid atau menanggung najis, hukum sai’enya sah juga.

Sumber:
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Q & A Bersama Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. PSN Publication. 2012.

0 comments