Soalan 2


Soalan:

Diketahui bahawa perempuan yang didatangi haid dan bernifas sah melakukan seluruh ibadat haji kecuali tawaf dan sembahyang dua rakaat untuk tawaf. Jadi, bagaimanakah caranya bagi perempuan yang haid melakukan ihram?

Jawapan:

Dalam Qamus al-Fiqhi menyebut, perkataan “ihram” bermaksud memasuki ke dalam perkara-perkara yang ada pantang-larang yang diharamkan, iaitu dengan beriltizam menjaganya. Cuma, dari sudut syarak, ia tidak terjadi kecuali dengan niat bersama-sama dengan zikir (iaitu talbiah). Inilah definisi oleh Ibn Abidin.


Definisi lain bagi ihram adalah masuk dalam ibadah haji atau umrah. Dalam mazhab pula, ada sedikit tambahan iaitu: Sekalipun tanpa talbiah.

Merujuk kepada soalan, wanita haid boleh berihram untuk haji atau umrah. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Aisyah r.a ketika beliau kedatangan haid:

افْعَلِي مَا يَفْعَلُهُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوْفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِيْ

Maksudnya: Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang menunaikan haji, namun jangan melakukan tawaf di Baitullah melainkan setelah kamu suci.
(HR al-Bukhari, no. 290 dan Muslim, no. 1211)

Keadaan ini menunjukkan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid boleh melakukan ihram tetapi tidak boleh tawaf dan solat juga. Ihram perempuan yang haid tidak ada beza dengan perempuan yang suci kecuali pada sembahyang sunat dua rakaat untuk ihram. Apabila perempuan yang berhaid sampai ke miqat dan hendak berihram, maka dia hendaklah mandi dengan niat untuk ihram.

Jika dia boleh menanti di miqat sehingga suci dan mandi, kemudian melakukan ihram, maka itu adalah lebih afdal. Perempuan yang didatangi haid dan bernifas, sah melakukan seluruh ibadat haji seperti wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah dan lain-lain kecuali tawaf dan sembahyang dua rakaat untuk tawaf seperti yang telah disebutkan.

Sumber:
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Q & A Bersama Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. PSN Publication. 2012.

0 comments