13 Rakyat Malaysia Langgar Visa Umrah Dihantar Pulang


SEPANG 11 Sept. - Sekumpulan 13 orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan rakyat Malaysia dihantar pulang ke tanah air dari Arab Saudi hari ini, selepas mereka didapati melakukan kesalahan berkaitan peraturan visa.

Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan 300 pelawat dari Malaysia yang memperoleh visa menerusi pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat Destinasia Travels Sdn Bhd, yang berlepas ke Arab Saudi secara berperingkat sejak Julai lepas.

Pengurus Destinasia, Muhd Norzi Md Ghazali berkata 13 orang itu ditahan kerana berada di Arab Saudi melebihi tempoh yang dibenarkan visa, dan siasatan mendapati mereka dipercayai berhasrat untuk tinggal di Arab Saudi selama kira-kira lima tahun untuk “belajar di sekolah pondok” di sana.

“Tindakan mereka ini menyusahkan pihak kami dari segi masa, tenaga, dan juga wang. Kami akan buat aduan kepada pihak Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA). Untuk tindakan seterusnya saya belum pasti lagi, mungkin laporan kepada pihak imigresen atau polis,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.


Kumpulan sembilan lelaki dan tiga wanita yang berumur antara 30 dan 70 tahun serta kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun itu tiba di KLIA pada 1.30 tengah hari, namun mereka enggan memberi sebarang komen semasa didekati.

Merujuk kepada kumpulan 300 pelanggan pakej umrah yang ditawarkan Destinasia Muhd Norzi berkata kira-kira 70 orang sahaja daripada mereka yang mematuhi jadual mengikut pakej yang ditawarkan, manakala selebihnya menimbulkan “beberapa masalah” seperti tidak mengikut jadual atau enggan mematuhi pakej tempat tinggal yang ditetapkan.

Beliau berkata bagaimanapun 13 orang ini merupakan kumpulan terakhir daripada kumpulan 300 visa yang dipohon Destinasia itu, yang terpaksa “dicari” oleh banyak pihak di Arab Saudi sebelum ditahan untuk dihantar pulang ke tanah air.

Katanya usaha mencari mereka dilakukan oleh muasassah dan mutawif yang dilantik, dan juga pihak berkuasa kementerian Haji Arab Saudi, selepas tempoh visa untuk berada di Arab Saudi tamat Ogos lepas. – BERNAMA

æ Utusan Malaysia. 11/9/2012.

_____________________
Inilah yang kita bimbang sangat, selalu berwaspada. Kadang perangai jemaah ni susah nak  kita jangka, bermacam-macam jenis. Saya juga pernah ditanya oleh pelanggan, mereka nak visa saja, pakej tak mahu kerana kata mereka nak duduk rumah saudara mereka di Mekah. Timbul rasa syak kerana nak pergi ke Mekah tarikh akhir sekali iaitu Pakej Syawal. Kebiasaannya begitulah cara orang yang nak tinggal lama di Mekah. Jadi saya katakan tak boleh mesti ikut pakej. Walaupun agak tidak mesra pelanggan, mungkin juga rugi akan tetapi mengelakkan masalah yang lebih besar lebih aula dari keuntungan.

0 comments