Jemaah Umrah Tertipu Kurang Tempat Mengadu


JAWHAR PERLU KERJASAMA BERI KESEDARAN ELAK JADI MANGSA

INDUSTRI pelancongan Muslim khususnya pakej haji dan umrah di negara ini semakin berkembang dan dianggarkan bilangan yang menunaikan umrah meningkat saban tahun. Tahun lalu saja mencecah hampir 90,000 orang. Peningkatan itu didorong kekuatan kewangan umat Islam, selain mendapati menunaikan haji kecil juga wajib yang mampu. Lantaran pasaran luas, tidak hairanlah ribuan agensi pelancongan dan pengembaraan yang berdaftar atau tidak dengan Kementerian Pelancongan serta persatuan pelancongan berebut mencari pelanggan dengan menawarkan pakej menarik yang ada antaranya tidak masuk akal.

Ini termasuk syarikat pelancongan Bumiputera dan bukan Bumiputera yang berlumba mencari pelanggan, termasuk melantik wakil di ceruk kampung bagi mengumpul jemaah dengan menjanjikan tawaran 10 orang mendaftar akan menerima satu pakej umrah percuma. Tiada satu akta pun menegah syarikat termasuk bukan Bumiputera yang berdaftar dengan kementerian membabitkan diri dalam pengendalian pakej umrah, walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang itu.

Mereka boleh menjalankan aktiviti perniagaan, hatta membuat tempahan penginapan terus ke Makkah dan Madinah, menguruskan tiket kapal terbang, melantik mutawif bagi mengurus aktiviti perjalanan umrah atau pun mendapatkan visa umrah daripada syarikat dilantik Kedutaan Arab Saudi.

Masalah hanya timbul apabila jemaah ditipu ejen atau syarikat pelancongan sehingga tidak sempat menjejakkan kaki ke Tanah Suci walaupun sudah membayar pakej ribuan ringgit, kalau tiba di sana pula, janji manis yang ditaburkan indah khabar daripada rupa. Jemaah sedar cabaran menunaikan ibadah ini menuntut kesabaran tinggi dan berhadapan risiko jika membuat tempahan dengan syarikat yang tidak diketahui latar belakang terutama kepada mereka yang tidak ada pengalaman dan pertama kali ke Tanah Suci.

Berikutan tiada entiti yang memantau perkembangan ini, maka berlaku pelbagai amalan tidak profesional di kalangan pengamal industri ini termasuk mengutip wang daripada pelanggan tanpa lesen atau kemudahan yang ditawarkan tidak sama seperti diiklan dalam pakej.

Kepada siapa mereka harus mengadu nasib walaupun sudah mengambil tindakan berhati-hati. Untuk mengadu kepada Lembaga Tabung Haji, agensi itu hanya melaksana pakej haji manakala umrah pula hanya mereka yang mengambil pakej daripada anak syarikat Tabung Haji, (TH Travel & Services) dilayan.

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri, yang diberi kuasa mengambil tindakan terhadap ejen atau syarikat ingkar pakej pelancongan umrah juga tidak dapat berbuat apa-apa. Dengan tidak sampai lima kakitangan, kuasa mereka agak terbatas untuk menyiasat dan mengambil tindakan melainkan menunggu aduan mangsa yang tidak berpuas hati atau tertipu.

Malangnya, tidak ramai tahu fungsi jabatan ini, kalau ada pun yang membuat aduan tidak ramai. Begitu juga aduan diperoleh Kementerian Pelancongan berhubung penipuan pakej ini, tidak ramai yang mengadu walaupun laporan penipuan ini banyak disiarkan media massa. Pengarah JAWHAR, Ahmad Azhan Mohd Noh, berkata pihaknya diberi peranan terhad kerana kuasa penuh dikawal kementerian.

“Kami dalam proses memberi kesedaran kepada orang ramai termasuk pengendali pakej umrah seperti mengadakan pelbagai seminar. Industri ini semakin besar dan pertambahan lebih 10,000 jemaah setahun memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan industri ini tidak terjejas,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Mohd Khalid Harun, berkata badan bertanggungjawab seperti JAWHAR perlu memainkan peranan lebih aktif seperti Tabung Haji kerana industri ini semakin berkembang luas pada masa depan.

Katanya, perlu juga kerajaan menggubal akta baru bagi memastikan kepentingan pemain industri dan pengguna terbela.

“JAWHAR juga perlu menambah kakitangan bagi memantau pakej umrah termasuk menempatkan kaunter di Tanah Suci. Kehadiran mereka membantu jemaah menerusi jalinan kerjasama dan hubungan erat dengan kerajaan Arab Saudi, industri perhotelan dan pengangkutan di sana bagi menjamin keselesaan jemaah kita,” katanya yang menjelaskan penipuan membabitkan agensi pelancongan adalah kecil dan tidak membimbangkan.

Duta Arab Saudi ke Malaysia, Muhamad Reda Al Hamayel pada persidangan antarabangsa mengenai pelancongan Muslim, haji dan umrah, baru-baru ini menegaskan kedutaannya hanya melayan proses permohonan visa yang diserahkan 21 syarikat pelancongan berdaftar dengan kerajaan Arab Saudi. Beliau menjelaskan proses permohonan visa juga singkat dan diluluskan kurang sehari melainkan ada alasan tertentu dan pihaknya tidak menyimpan pasport pemohon.

Walaupun permohonan visa dengan kedutaan meningkat saban tahun dengan 60,000 permohonan sehingga bulan ini berbanding pendaftaran setahun pada 2006 seramai 52,000 tidak memberi masalah kepada kedutaan itu.

“Masalah timbul apabila ada syarikat berdaftar menjual pakej pelancongan kepada syarikat tidak berdaftar. Kami bekerjasama dengan kementerian untuk mengambil tindakan terhadap aktiviti ini kerana tidak mahu menjejaskan perjalanan jemaah dan mahu mereka meninggalkan memori indah ketika ke Tanah Suci,” katanya.

æ Berita Harian. 25/8/2012.

0 comments