Arab Saudi telah
menolak permintaan 40 negara agar ditambah kuota jemaah haji tahun ini. Permohonan
ditolak atas alasan projek pembangunan besar-besaran di Makkah dan Madinah
masih berjalan.
Laporan AFP
memetik Menteri Haji Bandar al-Hajjar berkata, “kementerian meminta maaf kepada
kesemua negara yang telah meminta agar bilangan jemaah haji di negara
masing-masing ditambah.”
Tahun lalu, tiga
juta jemaah menunaikan haji. Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan masih berusaha mendapatkan
kuota haji tambahan sebanyak 10,000 bagi memberi peluang lebih ramai rakyat
negara ini yang beragama Islam untuk melakukan ibadah tersebut, sekali gus
mengurangkan jumlah mereka yang keciciran pada musim haji tahun ini.
Jamil Khir
berkata, beliau akan meminta bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak sendiri untuk bercakap dengan Raja Arab Saudi Raja Abdullah bagi
membincangkan mengenai perkara tersebut.
“Tradisinya pada
bulan puasa kita dapat jumlah kuota sebanyak 28,000 dan selepas raya biasanya
kita dapat kuota rayuan sebab kuota rayuan ini akan membantu mereka yang
tercicir dan sebagainya. Sampai sekarang kita sedang menunggu kuota rayuan ini,”
katanya.
Katanya,
keputusan mengenai kuota tambahan itu diharap dapat diluluskan dalam masa
terdekat. Sebelum ini Jamil Khir mengumumkan kerajaan Arab Saudi mengekalkan
kuota haji bagi jemaah Malaysia pada tahun ini iaitu sebanyak 28,000.
æ Sinar Harian.
19/09/2012.
0 comments