Oleh: Sahidan
Jaafar
Hari itu cukup
bertuah. Selepas bersarapan pagi di hotel Darussalam, saya dijemput oleh
mutawif haji terkenal, Haji Nasron Haji Ahmad, 58, ke rumahnya yang terletak di
kawasan perumahan Syaraie di Jikranah, Mekah. Jarak rumahnya dari Baitullah
hanya kira-kira 15 kilometer.
Hari masih pagi,
baru pukul 10.00. Sambil memandu kereta Nissannya, Haji Nasron, begitu ceria
bercerita lampaunya bagaimana beliau boleh menjadi anak Malaysia pertama
menjadi seorang mutawif haji dan menetap di Mekah selama 21 tahun.
Bermacam-macam cerita pahit maung diimbau Haji Nasron selama 21 tahun.
Bermacam-macam
cerita pahit maung diimbau Haji Nasron selama berkelana di Mekah sejak tiba di
Mekah awal tahun 1974. Sebelum menjadi mutawif terkenal, Haji Nasron
memberitahu dia pernah bertukang rumah, membaiki radio, membancuh simen,
mengecat, memahat kayu, mengangkut barang dan menjual barang-barang dari rumah
ke rumah. Semasa mula-mula tiba di Mekah pada tahun 1974 melalui pesawat China
Airline, Haji Nasron hanya membawa sebanyak RM200.
“Masa itu kami
tiga beranak, masuk tanpa permit. Tawakal sajalah…” cerita Haji Nasron. Sebaik tiba
di Mekah bersama isterinya, Hajah Faizah Jamuri dan anak kecil mereka, Aidil
Azman yang berusia setahun setengah, Haji Nasron terus melakukan bermacam-macam
jenis kerja untuk menyara isteri dan anaknya.
Haji Nasron bersama keluarga |
“Duit RM200 yang
dibawa dari Malaysia itulah saya guna untuk membuat kerja-kerja repair
radio,” katanya. Apabila tiada radio yang hendak direpair, Haji Nasron
bertukang rumah pula. Paku dan kayu dibeli sendiri. “Tak biasa mengecat, buat
kerja sapu cat rumah orang. Dulu, kerja teruk. Siang kerja, malam kerja.
Mula-mula saya buat kerja electrical wiring. Gaji 100 rial sebulan,”
cerita Haji Nasron.
Pada awalnya,
Haji Nasron terasa tidak sanggup tinggal di Mekah. Dugaannya hebat. Apatah lagi
dia tidak fasih berbahasa Arab, kena marah, dimaki orang Arab. “Masa tu rasa
nak patah balik Malaysia. Tapi mana nak letak muka,” cerita Haji Nasron sambil
ketawa. Begitu pun ingatannya pada kampung halamannya di Malaysia tidak pernah
padam. Apa lagi tiga anaknya, Mazlan, Rosilah dan Rashidah tinggal bersama
ayahnya Haji Ahmad di Kuala Kurau, Perak. Kalau boleh dia mahu membawa
bersama-sama tiga anaknya tapi apakan daya, kehidupannya belum stabil. Pada
tahun berikutnya, iaitu 1975, Haji Nasron menunaikan haji buat kali pertama
bersama isteri dan anaknya. Setelah dua tiga tahun bekerja Haji Nasron mula
dapat menyesuaikan dirinya dengan orang Arab. Sambil bertukang rumah, Haji
Nasron belajar bahasa Arab. Hasil pendapatan bertambah.
“Dua tiga tahun
di Mekah, dapatlah simpan sikit, kirim duit RM3,000 kepada mak dan ayah di
Kuala Kurau, Perak,” katanya. Isterinya, Faizah melahirkan seorang lagi cahaya
mata di Mekah diberi nama Najad. Tiga tahun kemudian lahir seorang lagi anak,
diberi nama Amal. Bertambah lagi tanggungjawab Haji Nasron. Kerja yang
memenatkan itu siang dan malam, beliau mula mengorak langkah menjadi seorang
mutawif. Dari zaman kapal laut bertukar pesawat tapi setiap kali musim haji,
beliau menunggu jemaah Malaysia yang memerlukan khidmatnya. Ketika itu Haji
Nasron dapati tiada sesiapa yang hendak uruskan kedatangan jemaah haji dari
Malaysia. Dia berlegar-legar di Lapangan Terbang Jeddah menunggu kalau-kalau
ada jemaah haji dari Malaysia baru tiba. “Apabila ternampak orang Malaysia,
saya pun tanyalah: Pak cik nak buat haji? Ada orang nak bawa? Tak ada! Mari
saya uruskan!” cerita Haji Nasron lagi mengingati peristiwa lampau.
“Mula-mula dulu,
tunggulah. Terpacak di Jeddah. Untung nasib, adalah. Kalau tidak, pulang tangan
kosong,” cerita Hap Nasron sambil ketawa memulakan episdod hidupnya berkelana
di Mekah.
Ketika itu Haji
Nasron mengambil upah membawa jemaah mengerjakan umrah dan haji. Masa itu Haji
Nasron masih muda, badan tegap dan kuat. Beg-beg jemaah diangkat ke dalam bas
seorang diri tanpa sebarang pembantu. Kadang-kadang Haji Nasron yang memandu
sendiri bas atau van membawa jemaah. Kemudian beliau akan menguruskan bilik-bilik
hotel sehinggalah beres. Sepanjang bulan haji, Haji Nasron bertugas seorang diri.
Haji Nasron jugalah yang menjadi mutawif, memandu jemaah ke Masjidilharam, ke
Arafah atau ke Mina.
“Dulu susah!
Kerja teruk. Saya tawakal aja. Bukan senang nak dapat senang macam hari ini!”
beritahu Haji Nasron lagi sambil memandu kereta Nissan meluncur menuju ke rumahnya
di Syaraie di Jikranah. Bermula dari situlah, Haji Nasron bertekad untuk
berusaha lebih gigih. Pada tahun 1985, KSB Travel melamarnya menjadi wakil
syarikat itu di Tanah Suci bagi menguruskan jemaah haji yang semakin lama makin
bertambah ramai.
Sepanjang
perjalanan berkereta menuju ke Syaraie, Haji Nasron tidak henti-henti bersyukur
kerana dapat menetap di kota kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., penghulu segala
rasul dan nabi. Sesekali Haji Nasron terbatuk-batuk. Beliau mengadu suaranya tiba-tiba
serak selepas memakan buah anggur. Kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu. “Anggur
ni panas! Sampai sekarang suara saya jadi begini, serak basah!” cerita Haji
Nasron tergelak.
Biarpun sudah
berjaya, memiliki ramai pekerja Arab tetapi Haji Nasron tidak pernah berpeluk
tubuh membiarkan pekerjanya melakukan kerja-kerja menguruskan jemaah. Buktinya,
sejak kami mula-mula tiba di Jeddah, Haji Nasron sudah tercegat di pintu balai
ketibaan, sama seperti mula-mula bertugas sebagai mutawif. Dua buah bas sudah
siap menunggu di luar terminal lapangan terbang. Jemaah yang tiba disambut
dengan senyuman dan beliau berpelukan dengan jemaah lelaki. Sementara, isterinya
Hajah Faizah pula berpelukan dengan jemaah wanita. Kerinduan seolah-olah tidak
pernah surut dari jiwa suami isteri ini setiap kali tiba jemaah dari Malaysia
yang ingin mengerjakan fardu haji atau umrah. “Setiap kali saya ingat, zaman susah
dulu, kisah lampau, saya sebak, menangis. Kawan-kawan saya hanyalah pak-pak
Arab!” beritahu Haji Nasron. Orang tua itu menarik nafasnya dalam-dalam.
Sepanjang perjalanan entah berapa kali beliau menitiskan air mata mengenangkan
betapa sukarnya kehidupan yang dilalui. Beliau sanggup berkorban apa saja
asalkan dapat hidup mencari rezeki di Mekah.
Setelah keadaan
mengizinkan barulah beliau membawa tiga anaknya, Mazlan, Rosilah dan Rashidah
ke Mekah. Rashidah pernah ditinggalkan selama tujuh tahun bersama ayahnya Haji
Ahmad di Kuala Kurau. “Kesian, Rashidah, tujuh tahun kena tinggal dengan atuknya!”
cerita Haji Nasron. Memang tepatlah apa yang dicari Haji Nasron di Mekah.
Beliau mendapat segala impian yang diangan-angankan sejak mula sampai ke kota
suci itu awal 1974. Paling tidak terduga, Haji Nasron dapat menunaikan fardu
haji setiap tahun sejak berada di sana. Begitu juga dengan anak anak dan
isterinya.
Allah juga telah
memberikan kefasihan lidahnya berbahasa Arab sama seperti bangsa Arab keturunan
Nabi Muhammad. Malah Haji Nasron dapat berjumpa dengan cucu-cicit Nabi Muhammad
yang menjadi penjaga Kaabah. Beliau juga mampu membeli sebuah rumah agam yang
bernilai lebih RM2 juta. Begitulah suratan dan pusingan roda hidup Haji Nasron.
Dari Kuala Kurau, Haji Nasron berhijrah ke Mekah dan akhirnya menetap di sana.
Oleh sebab terlalu asyik bercerita, tanpa sedar kami sudah tiba di rumahnya di
Syaraie di pinggir Jarannah. Rumah agamnya tersergam indah. Saya mendapat tahu
hanya Haji Nasron satu-satunya rakyat Malaysia yang menetap di kejiranan elit
ini. Rumah itu dibelinya dengan harga 180,000 riyal. Nilai rumah ini sekarang
melonjak 2 juta riyal. “Kalau di KL macam di PJ (Petaling Jaya) atau Damansara,”
kata Haji Nasron tersengih.
Setibanya di
sana, kami disambut isterinya, Hajah Faizah, Rosilah dan menantunya yang turut
membantu kerja-kerja menguruskan jemaah haji dari Malaysia. Tengah hari itu
kami makan bersama-sama dengan pelbagai lauk-pauk yang dimasak khas, sedap
tidak terkata. Maklumlah sudah seminggu tidak merasa masakan air tangan orang
Malaysia. Saya juga sempat bersembahyang Zuhur berjemaah dengan keluarga Haji
Nasron. Semasa berehat-rehat, Haji Nasron bercerita, biarpun tinggal di Mekah,
Arab Saudi tetapi beliau tidak merasa terpisah dengan Malaysia. Beliau sentiasa
mengikuti perkem-bangan isu-isu nasional di Malaysia seperti kes pemecatan
Anwar Ibrahim dari kabinet oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad. Melalui satelit, Haji Nasron dapat menonton siaran saluran
RTM TV1 dan TV3 dengan jelas. Selepas mengunjungi rumah Haji Nasron, saya
dihadiahkan sehelai kain ihram untuk memasang niat di miqat Jikranah untuk
mengerjakan umrah. Pemergian saya membuat liputan mutawif haji pertama kali
pada bulan Julai 1998 banyak menyimpan nostalgia bersama keluarga Haji Nasron.
Kemesraan Haji
Nasron, isterinya Hajah Faizah dan anak perempuannya, Rashidah, terpahat kukuh
di sanubari. Saya juga tidak lupa kenangan sepanjang perjalanan dari Jeddah ke
Mekah, kami bersantai dengan Haji Nasron dan Hajah Faizah melepak dan minum teh
sambil menghisap syisha bersama pemandu warga Arab Saudi. Saya kagum dengan
Haji Nasron dan isterinya yang rancak berbual dalam bahasa Arab. Saya juga
tidak akan lupa saat manis sebaik tiba di Jeddah pada waktu subuh bulan Julai
1998. Saya disambut oleh Haji Nasron yang amat mesra memeluk saya. Saya tidak
menyangka, keramahan dan budi baiknya membuatkan saya juga seperti berada di
tanah air sendiri. Saya juga kagum melihat Haji Nasron dan isterinya bekerja
keras bersama-sama pembantu-pembantunya kalangan warga Arab tempatan sibuk
memunggah beg ke dalam perut bas. Segala-galanya pantas dan profesional.
Selepas itu kami dibawa pula menunaikan fardu Subuh di sebuah masjid
berdekatan.
Sesampai di
Mekah, saya ditemukan oleh Haji Nasron dengan mutawif haji, Haji Muhamad Shabeerah
Shaarani yang berasal dari Indonesia. Haji Shabeerah juga berkhidmat dengan KSB
Travel & Tours yang menaja liputan Mastika di sana. Banyaklah kisah menarik
semasa Haji Shabeerah mengendalikan jemaah haji dari Malaysia, antaranya kisah
seorang nenek membawa tujuh biji batu menyebabkan pesawat MAS gagal terbang dan
pasangan mati dipijak di depan Kaabah. Hubungan erat saya bersama keluarga Haji
Nasron berterusan selepas saya pulang ke Malaysia. Sesekali, apabila Haji
Nasron balik menemui anaknya Datuk Mazlan, saya dan Pengarang Mastika ketika
itu, Zulkarnain Zakaria beberapa kali meraikan beliau sekeluarga makan tengah
hari di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Begitulah setiap
kali beliau balik ke tanah air karni sentiasa tertunggu-tunggu kepulangannya.
Setiap kali berjumpa di Kuala Lumpur, Haji Nasron tetap ramah-tamah dan kami
berbual-bual mesra bagaikan keluarga sendiri. Haji Nasron pernah memberitahu
beliau pernah berjumpa ayah dan ibu saya di Mekah. Tapi, sejak hampir tiga
tahun lalu, kami tidak lagi berjumpa beliau sekerap dulu. Apa lagi selepas
Mastika berpindah pejabat di Kompleks Sri Utusan di Bangi. Ya, paling
sedihnya... baru-baru ini apabila saya menelefon anak sulungnya Datuk Haji
Mazlan, 46, Pengarah Eksekutif KSB Travel & Tours untuk menyiapkan artikel
ini saya diberitahu berita paling menyayai hati mengenai Haji Nasron...
Mutawif haji
yang terkenal dengan panggilan mesra ‘Ayah’ dan anak Malaysia yang berjaya
menjadi usahawan di Mekah ini sudah kembali ke rahmatullah pada 18 Mel 2010
lalu dalam usia 70 tahun. Ya, kini kami bukan saja kehilangan seorang rakan,
tapi seorang ayah yang mesra dan penuh kasih sayang. Kami tidak akan berjumpa
lagi lelaki yang banyak berjasa, bersemangat kental dan fasih berbahasa Arab
ini buat selama-lamanya. Datuk Haji Mazlan memberitahu, ramai rakan-rakan
berbangsa Arab dan jemaah haji yang pernah berurusan dengannya meratapi
kematian Haji Nasron. Pada hari kematiannya, telefon Datuk Haji Mazlan tidak
berhenti-henti menerima ucapan takziah dari rakan-rakan warga Arab Saudi di
Mekah dan sahabat taulan. Allah Maha Kaya. Haji Nasron menghembuskan nafas
terakhir bukan di rumah agamnya di Syaraie, di Mekah tetapi di Malaysia.
Begitulah ketentuan Illahi. Pada zaman mudanya Haji Nasron berhijrah dan
menetap di Mekah berpuluh-puluh tahun tetapi jasadnya disemadikan di kampung
halamannya di Bagan Serai, Perak Malaysia. Al-Fatihah untuk Allahyarham Haji
Nasron! Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Amin!
Ø
Mastika Disember 2010
4 comments