Soalan 17


Tak Wajib Menaiki Jabal Rahmah

Soalan:

Saya menunaikan haji tahun lalu. Ketika di Arafah, saya melihat ada sebahagian jemaah haji naik ke Jabal Rahmah. Persoalannya, adakah ia dihitung sebagai sunat haji. Apa beza Jabal Arafah dengan Jabal Rahmah? Adakah doa khusus untuk dibaca ketika di Arafah? Bagaimana jika wanita haid pada hari Arafah. Bolehkah kita menunaikan ibadah haji untuk ibu bapa yang sudah meninggal dunia.

Aliah, Shah Alam, Selangor

Jawapan:

Jabal Rahmah adalah bahagian kecil daripada Jabal Arafah di mana Nabi SAW melakukan wukuf, lalu sahabat berusaha melakukan wukuf di sana kerana Nabi melakukannya. Bagaimanapun, Nabi tidak pernah memerintahkannya.

Manusia sepatutnya tidak berlumba untuk menaikinya kerana keadaan ini menyebabkan berlakunya percampuran, bahkan boleh membawa kemalangan yang mengakibatkan kematian.

Seseorang tidak boleh beranggapan jika ia mampu menaikinya, maka ia telah melakukan sunnah Nabi, anggapan itu salah.

Sekalipun ia benar sunnah Nabi, ia tetap berdosa kerana telah menyakiti orang lain dengan berusaha untuk mendapatkannya. Jabal Rahmah adalah bahagian kecil daripada Jabal Arafah dan ia tidak termasuk dalam salah satu manasik ibadat haji. Tidak wajib untuk menaikinya, cukup sekadar wukuf di sekitar Arafah saja.

Wukuf yang benar seperti diajar oleh Nabi SAW sementara bentuk pelaksanaan wukuf boleh dilakukan dengan apa cara, sama ada dalam keadaan berwuduk atau tidak, boleh juga dilakukan dengan cara berdiri, duduk, berjalan-jalan, bahkan sambil berbaring. Yang penting, ia berada di kawasan Arafah, sampai tenggelamnya matahari. Ketika waktu solat Maghrib tiba, maka hendaklah mengumandangkan azan Maghrib dengan segera. Akan tetapi orang yang wukuf tidak melakukan solat Maghrib di Arafah melainkan mereka hendak segera melakukan perjalanan ke Muzdalifah dan melakukan solat Maghrib serta Isyak di sana.

Pada dasarnya tidak ada kalimah khusus yang harus diucapkan di Arafah.

Rasulullah SAW sering ditanya hal ini dan Baginda menyarankan supaya berdoa untuk kebaikan diri sendiri dengan ikhlas. Seseorang yang sedang wukuf di Padang Arafah tentu bukan untuk satu keperluan atau hajat, akan tetapi setiap orang yang wukuf di padang Arafah bermacam-macam hajatnya. Terkadang orang yang sedang wukuf di padang Arafah memiliki permasalahan sosial, ekonomi, dan ada pula menghadapi permasalahan peribadi. Oleh sebab itu, setiap Muslim hendaklah meminta keampunan kepada Tuhannya, dan hendaklah dia sentiasa memperbanyakkan tasbih, zikir serta doa.

Haid dan nifas tidak termasuk larangan untuk melaksanakan ihram.

Haji tidak dianggap batal jika salah satu di antara keduanya terjadi ketika sedang melaksanakan haji. Seorang wanita boleh melakukan wukuf di padang Arafah dan pelaksanaan ibadat haji melainkan tawaf serta sa’i kerana tawaf hendaklah dilaksanakan dalam keadaan suci, sedangkan saie dilakukan setelah melaksanakan tawaf.

Ketiga-tiga mazhab (Mazhab Syafi’i, Hanafi dan Hambali) membenarkan untuk menghajikan orang tua atau orang lain jika yang dihajikan itu telah uzur (tidak mampu secara fizikal) atau telah meninggal dunia. Mazhab Malik hanya membenarkan menghajikan orang lain yang telah meninggal dunia kalau ada wasiat. Ia dilakukan dengan pembiayaan harta yang ditinggalkannya.

- Berita Harian.

0 comments