Di Padang Arafah


URUSAN: Aktiviti di Padang Arafah.

1. Perjalanan dari Makkah ke Arafah lazimnya memakan masa satu hingga dua jam. Namun demikian dalam keadaan tertentu perjalanan mengambil masa lebih daripada itu.

2. Tiba di kawasan khemah Maktab di Arafah masuklah ke khemah, yang diperuntukkan. Lelaki dan perempuan diasingkan. Muatan setiap khemah ialah 8-10 orang.

3. Berehat di dalam khemah dengan bertalbiah, berzikir, membaca al-Quran, solat, berdoa dan sebagainya.

4. Makanan dan minuman diedarkan oleh Petugas Muassasah ke khemah. Bertertiblah semasa mengambil makanan. Makanan akan disediakan secukupnya dan tunggu di khemah masing-masing sehingga makanan sampai.

5. Hadirkan diri di surau yang disediakan untuk beribadat dan mendengar ceramah agama. Guru Agama akan mengetuai majlis zikir dan ibadat.

6. Dengar dan hayati khutbah Arafah.

7. Waktu Wuquf bermula dari gelincir matahari (Zohor) pada 9 Zulhijjah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah (walaupun sekejap sahaja berada di bumi Arafah, Wuquf dalam tempoh itu dikira sah). Banyakkan zikir, digalakkan solat berjemaah di surau yang disediakan.

8. Jangan dedahkan diri dalam cuaca panas terik atau terlalu sejuk.

9. Jangan merayau-rayau di luar khemah maktab dan tidak digalakkan pergi ke Jabal Rahmah.

10. Jangan langgar larangan dalam Ihram.

11. Gunakan tandas dengan sempurna. Tandas adalah terhad.

12. Pusat Perkhidmatan Tabung Haji ada disediakan di setiap Maktab di Arafah. Penyediaan klinik kemudahan rawatan perubatan tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi.

13. Kemaskan barang-barang dan tunggu di khemah masing-masing sehingga pengumuman dibuat. (Urusan keberangkatan ke Muzdalifah biasanya sebelum maghrib).

14. Jika diaturkan bergerak sebelum maghrib, sembahyang boleh disempurnakan secara jama’.

15. Pastikan keluarga sentiasa bersama dan barang-barang dibawa bersama menaiki bas, bawa sedikit bekalan makanan dan minuman.

16. Kelewatan bas mungkin berlaku disebabkan kesesakan kenderaan di semua jalan menuju ke Mina.

17. Naik bas dengan tenang dan tidak berebut-rebut. Pastikan suami isteri dan keluarga dalam satu bas.

18. Kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan perkhidmatan sistem Taraddudiah (ulang alik) dari sektor Arafah - Muzdalifah dan Muzdalifah - Mina maka jemaah haji diminta mengikut peraturan yang telah ditetapkan terutama untuk menaiki bas.

19. Perjalanan ke Muzdalifah tidak mengambil masa yang lama oleh itu jemaah haji tidak perlu berebut-rebut untuk menaiki bas.

20. Perjalanan ke Muzdalifah adalah mengikut muatan bas yang telah ditetapkan dan jemaah haji diminta untuk mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh petugas Maktab dari masa ke semasa.

MAKLUMAN
i. Jemaah haji hendaklah menyediakan baju sejuk (bagi wanita) dan selimut bagi menghadapi cuaca sejuk di Muzdalifah.
ii. Jemaah haji akan diturunkan di Muzdalifah untuk bermabit dan mengutip anak batu.
iii. Jemaah haji akan berangkat dari Muzdalifah ke Mina selepas masuk waktu bermabit (lebih kurang jam 12 malam) mengikut jadual pergerakan.

PERINGATAN
i. Bersabar menghadapi keadaan yang tidak selesa sepanjang perjalanan, banyakkan berzikir dan bertalbiah.
ii. Naik bas dengan tertib mengikut kumpulan masing-masing.
iii. Semasa berada di Arafah dan Mina pembekalan sajian makanan tidak dikendalikan oleh Tabung Haji sebaliknya ianya akan dikendalikan oleh pihak Muassasah.

0 comments