Turkish Airlines Kembali Ke Malaysia


SEPANG 25 April | Syarikat penerbangan dari Turki, Turkish Airlines menyasarkan penerbangan setiap hari antara Istanbul dan Kuala Lumpur bermula tahun depan. Ahli Lembaga Pengarahnya, Ismail Gercek berkata, apabila bermulanya penerbangan itu, syarikat dijangka dapat memenuhi sasaran 30,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan syarikat itu pada tahun yang sama.

Katanya, rangkaian penerbangan keempat terbesar di Eropah tersebut telah menempah 117 pesawat A321 dan A320 daripada Airbus bagi menambah jumlah penerbangan mereka di seluruh dunia. Pada masa ini, kami terbang ke 222 destinasi di 99 negara dan rangkaian itu terus bertambah dengan adanya penerbangan ke Kuala Lumpur. Kami menyasarkan untuk menambah lagi jumlah penerbangan iaitu kepada 235 menjelang hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran penerbangan Turkish Airlines ke negara ini di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohd. Taiyab.

Turkish Airlines terbang dua hala antara Istanbul dan Kuala Lumpur sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Khamis dan Sabtu. Harga pengenalan bagi penerbangan dua hala dari Istanbul ke Kuala Lumpur adalah RM2,140 termasuk cukai dan yuran.

Menurut Ismail, syarikat itu belum ini terpaksa menghentikan penerbangan ke negara ini sejak 2002 kerana kekurangan pesawat, namun atas hubungan yang semakin baik antara kedua-dua negara, pihaknya mengambil keputusan untuk membuka semula operasinya di sini.

Menurut data penerbangan antarabangsa, penerbangan dari Eropah ke Asia Tenggara semakin meningkat.“Oleh itu, adalah perlu bagi kami untuk terbang ke Malaysia," jelasnya.

0 comments