Petaling Jaya | Penerbangan
Malaysia (MAS) yakin pelan pemulihan yang sedang dilaksanakan bukan saja akan
membolehkannya kembali untung, malah menjadi entiti yang mampu menjana
pembiayaan sendiri mulai tahun kewangan 2014.
Ketua Eksekutif
Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada
pencapaian MAS dalam mengurangkan kerugian bersihnya bagi 2012 kepada hanya
RM432.58 juta berbanding RM2.523 bilion pada 2011.
“MAS kini dalam
pelan pemulihan strategik, kami yakin ia mula membuahkan hasil utamanya yang
lain menjelang akhir tahun kewangan 2014 nanti. Kebanyakannya (peningkatan)
dijangka dapat dilihat pada separuh kedua tahun ini.
Beli Pesawat Baru
“Syarikat tidak
lagi mengalami kerugian, MAS bakal menjadi entiti yang mampu menjana sumber
pembiayaan sendiri untuk pembelian pesawat baru dalam tempoh dua hingga tiga
tahun akan datang,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di
sini, semalam.
Ahmad Jauhari
berkata, syarikat penerbangan kebangsaan itu juga merancang memperkenalkan
beberapa lagi laluan baru yang menarik sejajar langkahnya untuk meningkatkan
saiz angkatan pesawatnya pada masa depan.
“Beberapa laluan
baru (yang bakal diperkenalkan kelak) akan membabitkan tempoh penerbangan
maksimum hanya lapan jam dan ke bawah,” katanya.
Selain
pengenalan laluan baru, Ahmad Jauhari berkata, MAS juga berhasrat untuk
menambah bilangan pesawat bagi menggantikan pesawat lamanya dengan pengumuman
lanjut bakal dibuat dalam tempoh terdekat ini.
“MAS sudah
menerima semua (enam) pesawat Airbus A380 yang ditempah. Semuanya terbang dua
kali sehari ke London dan setiap hari ke Paris serta Hong Kong.
“Kami sedang
mengkaji pelan, sama ada untuk menambahkan lagi bilangan pesawat atau
sebaliknya. Kami akan membuat satu pengumuman mengenainya nanti,” katanya.
Ahmad Jauhari
berkata, proses penggantian pesawat itu bukan saja akan meningkatkan lagi daya
saing MAS sebagai antara syarikat terunggul dalam industri penerbangan dunia
malah turut membantu menurunkan usia pesawat yang dimilikinya di bawah paras
5.4 tahun berbanding 9.2 tahun kini.
“Menerusi
penggunaan pesawat baru dan moden, MAS akan menikmati penjimatan minyak pada
purata 15 hingga 20 peratus bagi setiap tempat duduk, sekali gus akan
menyumbang kepada peningkatan prestasi kewangan pada masa depan kerana faktor
penjimatan kos adalah antara fokus utama dalam pelan pemulihan MAS,” katanya.
Pertumbuhan 3.5 Peratus
Dalam tempoh
tiga bulan pertama tahun ini, MAS mencatat pertumbuhan 3.5 peratus muatan
penumpang kepada 76.6 peratus berbanding 73 peratus yang dilaporkan dalam
tempoh sama tahun lalu.
“Pendapatan
penjualan kerusi bagi setiap kilometer (RASK) dalam tempoh dikaji turut
meningkat 16.5 peratus,” katanya sambil menambah peningkatan RASK itu dilihat
sebagai perkembangan yang baik buat MAS kerana ia bakal membantu mengurangkan
kos setiap sen yang dibelanjakan untuk kerusi bagi setiap kilometer (CASK).
“Ini keutamaan
serta merta MAS. Jika ketidakseimbangan antara RASK dan CASK berterusan, MAS
tidak boleh mencatat keuntungan,” katanya.
- BHarian
0 comments