Kos Kursus Haji Sebanyak 3 juta


SHAH ALAM | Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membelanjakan hampir RM3 juta bagi menganjurkan kursus haji di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail berkata, jumlah itu tidak termasuk tanggungan Tabung Haji bagi setiap jemaah haji ‘Muassasah’ iaitu sebanyak RM5,575 seorang bagi mengekalkan kos menunaikan haji sebanyak RM9,980 seorang.

“Jumlah tanggungan haji keseluruhan Tabung Haji setiap tahun adalah melebihi RM100 juta.

“Dengan jumlah tanggungan yang besar ini, Tabung Haji mengharapkan bakal jemaah haji akan dapat mengerjakan haji lebih selesa dan selamat serta mendapat haji yang mabrur,” katanya dalam sembah ucapan Majlis Penyempurnaan Penutupan Kursus Perdana Haji Musim Haji 1434 Hijrah, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, pada tahun ini, seramai 3,600 bakal haji dari Selangor terpilih mengikuti Kursus Perdana Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini.

Katanya, kursus yang menjadi program akhir di bawah kendalian Tabung Haji itu memberikan maklumat terkini dan ilmu berkaitan ibadah haji bagi meningkatkan tahap pengetahuan bakal haji sebelum bertolak ke tanah suci.

“Melalui kursus ini, jemaah akan diberikan kesempatan mengukuhkan lagi kefahaman masing-masing berhubung pelaksanaan ibadat haji melalui latihan amali yang diadakan.

“Jemaah haji berpeluang melaksanakan aktiviti ibadah haji secara simulasi seperti bertawaf, sai, melontar jamrah dan amalan berkaitan dengan haji dan umrah secara berkumpulan bagi melahirkan suasana sebenar di tanah suci,” katanya.

0 comments