Tun M Jangan Pertikai Kuasa Tuhan

KUALA LUMPUR | Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa ibadat haji yang dilaksanakan di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mendapat haji mabrur dilihat seperti ingin mengambil kuasa Allah SWT.

Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Dr. Mahathir itu sudah melampau kerana sama ada ibadat haji seseorang itu diterima atau tidak, ia merupakan urusan Tuhan dan manusia tiada hak untuk menentukannya.

“Apa hak dia nak kata ibadat haji ini tidak mabrur, haram dan sebagainya sedangkan yang menentukan semua perkara itu adalah Allah SWT.

“Dia perlu sedar dalam bab syurga dan neraka ini bukan hak manusia, ia adalah hak mutlak Allah SWT, jadi dia macam nak ambil kuasa Tuhan pula dan pada saya ini sudah melampau,” katanya seperti dipetik dalam wawancara dengan SuaraTV.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika me­nyampaikan ceramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, baru-baru ini berkata, ibadat haji yang dilakukan menggunakan duit 1MDB tidak mabrur kerana wang tersebut berpunca daripada sumber yang haram.

Menurut Harussani, Dr. Mahathir sudah berulang kali menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terlibat dengan skandal 1MDB sedangkan siasatan yang dilakukan membuktikan sebaliknya.
Harussani turut menasihati Dr. Mahathir agar berhenti daripada melakukan perkara yang tidak menguntungkan Islam dan negara.

“Sepatutnya kita sebagai orang Islam perlu bersatu, tetapi kita berpecah sedangkan Tuhan dah sebut dalam Al-Quran kalau kita bersatu kita akan berjaya,” ujarnya.

Sumber: Utusan

0 comments