Belum Sampai Seru Ke Mekah



Setengah orang bila ditanya, “Bila nak Mekah?”,
“Takde rasa nak ke Mekah ke?”.
Jawapan biasa didengari, “Belum sampai seru”,
“Belum ada rezeki”.
Dua jawapan biasa berkumandang apabila ditanya, barangkali inilah jawapan paling mudah diberikan. Sebenarnya jawapan belum sampai seru adalah jawapan seperti orang tidak beriman. Begitu juga bila diajukan soalan, “Bila nak bertudung”.
“Bila nak berhenti main judi?”.

Dalam al-Quran telah awal-awal lagi menyebut tentang haji iaitu sejak 1400 tahun lampau. Dalam surah al-Ḥājj:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (٢٧)
[سورة الحج: 27]
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (27)

Berpandukan ayat di atas tiada lagi alasan atau hujah untuk kita mengatakan belum sampai seru. Seruan telah lama sampai cuma hanya kita saja tidak mengambil endah perkara tersebut. Kita tidak pernah membaca al-Quran sampai khatam seumur hidup, kalau baca hanya Yasin pada malam Jumaat. Kita jarang membaca tafsir al-Quran, tapi baca akhbar setiap hari istiqamah pula. Begitu juga seruan menutup aurat dan menjauhi judi.
Belum ada rezeki, jawapan ini boleh dikira benar. Dalam masyarakat Melayu rezeki bukan sahaja bermaksud berduit tapi juga takdir. Akan tetapi hendaklah disertai dengan niat dan usaha. Niat belum ada, menyimpan duit ke arah itu tidak ada, membaca buku berkaitan umrah dan haji pun jauh sekali, jadi bagaimanakah kita akan terdorong ke arah kebaikan?
Sekarang orang sibuk berbahas Law Of Attraction. Tiga perkara saya sebut di atas juga termasuk dalam perkara Law Of Attraction. Bila kita bersungguh maka insya Allah, Allah akan menggerakkan langkah kita ke Mekah al-Mukarramah. Jangan attraction duit dan bisnis sahaja. Moga-moga tercapai hendaknya. Amin.


0 comments