Agensi Gagal Dapatkan Penerbangan Pulang, 400 Jemaah Terkandas Di Mekah
KUALA LUMPUR 30
Ogos - Kira-kira 400 jemaah umrah dari negara ini terkandas di Mekah selepas
pihak agensi yang menguruskan mereka gagal mendapatkan penerbangan pulang sejak
Ahad lalu. Difahamkan, mereka berlepas ke Tanah Suci pada 16 Ogos lalu dan
sepatutnya kembali ke tanah air Isnin lalu.
Bagaimanapun
sehingga kini, kesemua mereka yang diuruskan beberapa agensi masih lagi
menunggu penerbangan yang dijanjikan selepas tarikh berangkat pulang ke tanah
air ditunda beberapa kali. Seorang jemaah yang enggan dikenali berkata, wakil
agensi yang menguruskan penerbangan pulang sehingga kini masih gagal memberikan
kepastian berhubung tarikh sebenar untuk mereka berlepas pulang ke tanah air.
“Melalui
perjanjian bersama agensi yang menguruskan kami, penerbangan pulang sepatutnya
pada malam Ahad lalu, kemudian ia ditunda sehingga semalam sebelum ditunda lagi
ke hari ini.
“Bagaimanapun,
mereka sekali lagi menunda penerbangan sehingga Sabtu ini namun masih tidak
jelas sama ada kami akan berlepas pulang atau tidak pada hari berkenaan,”
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ekoran penundaan
penerbangan pulang itu, jemaah dari Kuala Lumpur tersebut memaklumkan, para
jemaah terutamanya yang bekerja berdepan kesulitan kerana terpaksa memohon cuti
tambahan manakala anak-anak jemaah yang bersekolah pula terlepas sesi
persekolahan.
“Saya juga
diberitahu ada antara jemaah yang terpaksa mencari alternatif lain untuk pulang
ke tanah air sedangkan telah membayar pakej umrah termasuk tiket penerbangan
pergi dan balik.
“Urusan
penerbangan kami diuruskan pihak Muhammadiyah Travel di Nilai, Negeri Sembilan
dengan menyewa sebuah kapal terbang tetapi atas alasan yang tidak kukuh
kepulangan kami ditunda,” ujar jemaah berkenaan.
Sementara itu,
pihak Muhammadiyah Travel ketika dihubungi memberitahu, pihaknya berdepan
masalah teknikal menyebabkan penerbangan pulang kesemua jemaah tersebut
terpaksa ditangguhkan sehingga Sabtu ini.
“Jadual asal
penerbangan pulang ialah pada 28 Ogos lalu tetapi ditunda pada 1 September ini.
Penerbangan dengan pesawat yang kami sewa terpaksa ditunda berikutan masalah
teknikal yang tidak dapat dielakkan,” jelasnya.
Sumber: Utusan
Malaysia. 31 Ogos 2012.
_______________
Hasil daripada
feedback Jemaah yang dalam group kami, AlhamduliLlah tiada apa-apa masalah.
Hanya cuti saja yang membuat hati resah sedikit akan tetapi dapat duduk lama di
Mekah membuat hati gembira dan peluang yang ada tidak dilepaskan begitu saja
dengan memperbanyakkan umrah sunat. AlhamduliLlah.
Situasi sebenar
ialah kerana penerbangan ‘charter flight’ kami dengan Eagle Expres tidak
mendapat hak pendaratan di Jeddah. Maka untuk mendapatkan penerbangan lain serta
merta bukanlah kerja mudah jadi terpaksalah delay 4 hari. Segala kesulitan ini
amatlah dikesali dan insya’ Allah tidak akan berlaku di masa akan datang.
0 comments