KISAH yang
hendak saya ceritakan ini berlaku kepada seorang jemaah bernama Pak Mat pada
musim haji 2001 lalu. Kelakuan jemaah ini sangat pelik. Pernah semasa jemaah
ini sampai di hotel, dia terus keluar bilik. Bila saya tanya hendak ke mana,
Pak Mat menjawab hendak minum teh di kedai Cina. Saya terus ketawa! Mana ada kedai
Cina di Mekah, jawab saya. Ini bukan Malaysia. Selama empat kali ke Mekah,
tidak pernah sekalipun saya nampak ada kedai Cina di Tanah Suci. Saya cuba
mengejar Pak Mat tetapi dah terlambat. Orang tua itu hilang di celah-celah
orang ramai. Malam itu, saya membawa jemaah melakukan tawaf. Selepas tawaf, Pak
Mat masih tidak muncul. Kami terus buat sai. Habis sai, kami balik ke hotel.
Tapi Pak Mat masih hilang. Akhirnya saya membuat aduan di pejabat Tabung Haji
memberitahu ada seorang jemaah hilang. Paling mengejutkan, pada suatu malam,
saya mendapat tahu ada jemaah wanita ternampak Pak Mat balik makan di hotel.
Hari itu sudah lima hari Pak Mat hilang.
Setiap kali waktu
makan Pak Mat balik. Habis makan Pak Mat keluar semula. Tapi saya diberitahu,
masuk hari kelima jemaah wanita nampak Pak Mat bawa begnya sekali. Saya terus
bergegas ke bilik Pak Mat. Benar! Beg dan barang-barang peribadi Pak Mat tiada.
Saya hairan! Kenapa Pak Mat berkelakuan aneh semasa di Mekah? Saya makin
bimbang. Esok, semua jemaah akan pergi ke Arafah. Jika orang tua itu tidak
balik, kami terpaksa bertolak ke Arafah tanpa Pak Mat. Semasa berada di Arafah,
saya menerima berita dari pejabat Tabung Haji bahawa Pak Mat telah ditemui. Pak
Mat sedang dirawat di sebuah klinik. Saya terus ke klinik untuk mengambil Pak
Mat. Saya lihat Pak Mat seperti orang bodoh. Saya tanya Pak Mat, ke mana dia
pergi selama ini? Pak Mat memberitahu dia ada bersama-sama melakukan tawaf. Tapi
semasa sedang tawaf berlaku kejadian pelik di depan Kaabah. Semasa sedang tawaf
Pak Mat memberitahu dia merasa seolah-olah sedang memandu bas. Semasa sedang
memandu, Pak Mat ternampak seorang kanak-kanak hendak melintas jalan, Pak Mat terus
mengelak, bimbang bas yang dipandunya melenyek kanak-kanak berkenaan. Peliknya
sebaik saja mengelak, bas yang dipandu Pak Mat terus ghaib.
“Tapi, stereng
bas ada di tangan saya,” cerita Pak Mat. Memang tidak masuk akal cerita Pak
Mat. Tapi Pak Mat beria-ria memberitahu apa yang berlaku itu bukan khayalan
tetapi benar-benar berlaku. Dia sanggup bersumpah. Lalu saya bertanya bagaimana
Pak Mat boleh balik ke hotel? Pak Mat menjawab: “Mana saya tahu bila saya
balik?” Sekali lagi saya merasa pelik dengan perangai Pak Mat. Pak Mat juga
tidak tahu ke mana perginya beg pakaian dan barang-barang miliknya. Pak Mat
juga tidak tahu berapa hari dia hilang. Orang tua itu juga tidak sedar wangnya
sebanyak 700 riyal juga hilang.
Selepas kejadian
itu, saya terus memantau pergerakan Pak Mat. Selepas habis ibadah haji, saya
bawa rombongan ziarah Madinah. Tapi, selepas lima hari di Madinah, Pak Mat
sekali lagi hilang. Puas saya mencari Pak Mat, tetapi dada seorang pun jemaah
yang tahu. Akhirnya saya mendapat tahu Pak Mat berada di Hospital Madinah.
Menurut pihak hospital, fikiran Pak Mat terganggu. Saya meminta kebenaran membaawa
Pak Mat balik ke hotel. Sampai di hotel saya terus memarahi Pak Mat.
Pelikya, Pak Mat
menjawab ada seorang jemaah mengajaknya minum teh tarik. Semasa hendak membayar,
jemaah tersebut meminjam duit Pak Mat. Mereka berpisah di situ. Pak Mat pula
terpinga-pinga tidak tahu jalan balik ke hotel. Saya cuba memeriksa wang dalam
poket Pak Mat. Cuma ada 20 riyal. Saya bertanya kepada isteri Pak Mat, berapa
riyal yang diberi kepada Pak Mat? lsterinya memberitahu, sejak duit Pak Mat
hilang 700 riyal, dia hanya beri 20 riyal sahaja. Hairan! Kenapa duit Pak Mat
tidak luak. Mengikut cerita Pak Mat, jemaah yang mengajaknya minum pinjam
duitnya minta membayar harga dua cawan teh?
Memang pelik
cerita Pak Mat ini. Banyak yang tidak masuk akal! Tapi Pak Mat kata dia tidak
berbohong. Apa yang berlaku benar-benar terjadi. Tiba-tiba saja Pak Mat
menangis di hadapan saya. Pak Mat mengakui segala yang telah berlaku mungkin
sebagai balasan di atas segala kejahatan yang dilakukan dulu. “Dulu, Pak Mat
jahat. Pak Mat banyak buat dosa. Pak Mat lupa pada Allah,” beritahunya. Paling
mengejutkan, Pak Mat mengaku dia tidak ada hati langsung hendak buat haji.
Mungkin sebab itulah hatinya tidak khusyuk dan selalu saja hilang. Mungkin inilah
balasan Allah pada Pak Mat. Orang tua itu terus menangis teresak-esak. Saya
melihat orang tua itu benar-benar insaf walaupun tidak berniat hendak
mengerjakan haji di Mekah kerana banyak dosa. Empat hari selepas balik ke tanah
air, saya menerima berita bahawa Pak Mat terlibat dalam nahas jalan raya ketika
sedang memandu bas. Pak Mat cedera parah. Tiga hari dirawat di ICU, Pak Mat
meninggal dunia. Saya terkenang kembali kisah yang diceritakan Pak Mat semasa
tawaf. Pak Mat merasa seolah-olah sedang memandu bas dan semasa mengelak
kanak-kanak melintas jalan, stereng tercabut di depan Kaabah. Rupa-rupanya
itulah petanda Pak Mat akan pergi dulu. Saya berdoa semoga dosa-dosa Pak Mat diampunkan
dan ibadatnya diterima sebagai haji yang mabrur.
C
Majalah Mastika. April 2010.
0 comments