KUANTAN 10 Dis.
- Sejuta penganut Islam di negara ini berada dalam senarai menunggu untuk
mengerjakan haji berikutan kuota yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi hanya
28,000 orang bagi setiap kali tibanya musim haji.
Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, daripada jumlah tersebut,
terdapat kira-kira 14,000 bakal jemaah haji yang berusia 75 tahun ke atas.
“Justeru, saya
menasihati mereka yang pernah menunaikan haji agar tidak memohon lagi dan
memberi laluan kepada bakal jemaah baru supaya mereka berpeluang menunaikan
rukun Islam kelima itu.
“Kewajipan kita
sebagai umat Islam hanya sekali melakukan ibadah haji kerana jika dilakukan
lebih daripada itu ia menjadi sunat. Maka, sebaiknya berilah laluan kepada
mereka yang lebih layak,” katanya.
Beliau berkata
demikian ketika berucap dalam Program Multaqa Guru Takmir, Guru KAFA dan Imam
peringkat negeri di sini hari ini.
Hadir merasmikan
program tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Yang turut
hadir, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha
dan Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Mohd. Ghazali Abd.
Aziz.
Sementara itu,
menurut Jamil Khir, ketika ini terdapat 7.9 juta pendeposit Tabung Haji dengan
dana terkumpul sebanyak RM34.9 bilion.
“Daripada jumlah
itu, kira-kira 81 peratus dana akan disimpan sebagai dividen manakala, sebanyak
19 peratus untuk mengerjakan ibadah haji,” jelasnya.
- Utusan
0 comments