MASA DEPAN SISTEM MENUNAIKAN IBADAH HAJI
Dunia teknologi semakin laju dan sukar untuk ditahan. Semalam dah tular dokumen-dokumen berkaitan kuota haji 1443H, hari ini baru YB Menteri umumkan secara rasmi.
Pelaksanaan pelbagai projek berteknologi berkaitan haji dan umrah telah bermula sejak tahun 2018 lagi apabila Kementerian Haji&Umrah Arab Saudi mengumumkan pengurusan haji selain dari haji rasmi negara (jika Malaysia ia diuruskan oleh Tabung Haji) tidak lagi boleh diuruskan oleh Tabung Haji. Haji ini masyhur dikenali dengan haji menggunakan visa Furada atau visa Mujalamah. Makluman ini asasnya terpakai untuk semua pengurusan haji di seluruh dunia.
Saya mengikuti secara rapat perkembangan Arab Saudi setelah Putera Mahkota Mohammad Bin Salman Al Saud (MBS) mengambil alih puncak pentadbiran kabinet menteri setelah Raja Salman melantik baginda sebagai Putera Mahkota atas pelbagai faktor terutamanya faktor kesihatan. MBS bergerak dengan sangat laju dan sangat menekankan penggunaan teknologi. Selain itu, polisi Saudization juga amat jelas sekali diperhebatkan. Dua faktor ini (Teknologi dan Saudization) sangat memberi kesan kepada transformasi di Arab Saudi.
Sebab itu kita boleh saksikan sendiri Kerajaan Arab Saudi telah mula melancarkan e-visa untuk haji sejak tahun 2019, tahun yang merekodkan satu rekod hitam buat negara apabila 26 jemaah haji Malaysia tersangkut di kaunter imigresen Jeddah kerana masuk dengan visa haji yang tidak sah. Sebenarnya jumlah sebenar ialah 32 jemaah kerana saya sendiri dihubungi oleh IO terlibat bagi membuka jalan untuk beliau berbincang dengan pihak Kedutaan Arab Saudi, beliau berkongsi dengan saya kesemua 32 visa tersebut.
Pelaksanaan teknologi dalam semua sektor di Arab Saudi semakin laju dari yang dijangka dengan kehadiran pandemik Covid19. E-Visa untuk pelancong (Tourist Visa/Visit Visa) mula diperkenalkan seawal tahun 2019 dan mendapat pujian ramai kerana kepantasan prosesnya. Semua tahu dalam tempoh lima minit sahaja setelah proses pembayaran disempurnakan, visa akan terus selamat diterima melalui emel. Kini, lebih ramai yang pergi menunaikan umrah dengan Tourist Visa berbanding Umrah Visa.
Sistem Smart Hajj Card mula diperkenalkan pada musim haji tahun 1442H. Ia sistem kad pintar yang memberi informasi dan khidmat komprehensif kepada semua pihak yang terlibat samada para jemaah, dan seluruh agensi pengurusan haji di Arab Saudi dari pelbagai kementerian. Semua juga dah maklum sistem aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna yang mula diperkenalkan sejak tahun 2021. Terbaru pada bulan lepas, aplikasi khas bagi mendapatkan visa haji dan umrah telah diperkenalkan. Antara kemudahan yang disediakan ialah imbasan cap jari dan muka hanya menerusi telefon dan gajet pintar sahaja.
Kini secara realitinya, keperluan untuk Kerajaan Arab Saudi terikat dengan pengurusan luar Arab Saudi dalam urusan haji dan umrah semakin berkurangan tahun demi tahun. Sebuah negara yang sedang berubah menjadi negara ‘investor-friendly’ juga ‘tourist-friendly’ yang mensasarkan kemasukan 100 juta pelancong setiap tahun menjelang tahun 2030, dan merancang untuk menyambut sekitar 30 juta jemaah haji dan umrah setiap tahun pada tahun 2030, Arab Saudi sedang dengan drastiknya menyiapkan infra teknologi mereka bagi menepati jangkaan Saudi Vision 2030.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sistem visa haji furada telah dibangunkan dengan lebih sistematik dan lebih mesra jemaah haji individu, sesuai dengan jolokan yang diberikan visa furada (furada bermaksud individu). Sistem ini belum diaplikasikan secara keseluruhannya. Jika ia diberi akses penuh untuk semua individu yang menginginkan haji dari seluruh dunia, kecekapan sistem dan khidmat ini akan menyamai kecekapan sistem Tourist Visa yang kita sedang saksikan.
Bermakna, mana-mana jemaah haji pada masa hadapan boleh pergi ke Arab Saudi untuk tujuan haji dengan pengurusan sendiri sebagaimana jemaah umrah sekarang yang masuk mengerjakan umrah menggunakan Tourist Visa. Ramai yang memilih untuk melakukan urusan sendiri tanpa pergi melalui mana-mana syarikat travel.
Itulah hakikat masa depan haji dan umrah yang sedang Arab Saudi persiapkan.
Sebab itu bila ramai yang datang tawarkan kepada saya untuk berkolabarasi (bukan jadi Duta syarikat) dalam syarikat travel bagi tujuan haji dan umrah, saya memilih untuk tidak menyambutnya. Kerana bacaan peribadi saya, dalam beberapa tahun akan datang terutama menjelang tahun 2030, hanya syarikat travel dan muassasah haji dan umrah tempatan Arab Saudi sahaja yang akan diberikan mandat penuh untuk membuatkan segala pengurusan logistik.
Ini menepati faktor Saudization yang saya sebutkan tadi apabila MBS ingin memastikan lebih ramai rakyatnya serius bekerja dan menjana pendapatan setelah selama ini sekadar selesa dengan sistem ‘Ali Baba’. Sistem perniagaan Ali Baba telah sepenuhnya diharamkan di Arab Saudi. Orang luar yang ingin berniaga di Arab Saudi wajib masuk berdaftar secara rasmi di Kementerian Pelaburan (Ministry of Investment) Arab Saudi, samada memilih untuk masuk secara bersendirian atau bersama rakan kongsi Arab Saudi.
Sejak setahun lepas saya ulang alik ke Arab Saudi untuk merealisasikan beberapa projek pelaburan dari Malaysia menembusi pasaran negara Haramain tersebut, saya dapat saksikan begitu drastik sekali transformasi polisi pelaburan yang Arab Saudi lakukan bagi mengalu-alukan lebih ramai pelabur memasuki pasaran negara yang telah menawarkan hampir SAR 27 trilion untuk pembangunan negara tersebut menuju Saudi Vision 2030 dan Saudi Vision 2050.
Berbalik kepada isu haji/umrah/pelancongan, dengan segala aplikasi dan sistem yang telah dan sedang dibina, para pelawat ke Arab Saudi baik pelancong, jemaah umrah atau haji hanya perlu memohon permit/visa/booking hotel dan sebagainya hanya menerusi sistem dan aplikasi sahaja. Begitulah secara peribadi saya melihat perkembangan masa depan haji, umrah, dan pelancongan ke Arab Saudi. Mungkin bacaan saya tidak tepat, Wallaahu A’lam.
Tapi ramai yang masih belum tahu, jemaah haji dari Indonesia telah lama mendapat permit haji secara terus dari dalam Arab Saudi. Oleh itu kita dapat lihat setiap tahun iklan Haji Furada Indonesia telah mula dipromosikan seawal bulan Rejab atau Syaaban. Ini kerana sesetengah dari mereka memiliki akses kepada pihak Arab Saudi yang memiliki akses untuk tawarkan visa haji furada kepada mereka.
InsyaAllah, atas kapasiti peribadi, saya telah dan sedang terus berusaha untuk mendapatkan akses yang sama. Ia bertujuan untuk memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia yang ingin menunaikan haji tanpa perlu menunggu giliran haji dari Tabung Haji. Usaha ini telah saya mulakan sejak tahun 2019 lagi. Semoga Allah permudahkan urusan saya dan beberapa sahabat yang menjalankan usaha ini.
Saya doakan jemaah haji pada tahun ini diberikan kemudahan untuk menyempurnakan manasik mereka dan dikurniakan haji mabrur.
#hajj #future #umrah #technology #saudiarabia #SaudiVision2030
Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya
Islamic Councilor Office of Kingdom of Saudi Arabia
0 comments