Kelebihan Masjid Quba’



Masjid Quba’ adalah masjid pertama dibina Rasulullah SAW sesampainya di Madinah Munawwarah. Quba’ diberi nama sempena nama telaga disitu. Oleh kerana masjid pertama dibina maka ia mempunyai keistimewaan walaupun tidak sebanding Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tapi ia tetap ada keunikannya.


Antara keunikannya ialah disebut dalam Surah al-Taubah bahawa bersolat di masjid ini lebih aula daripada solat di masjid satu lagi iaitu Masjid Dhirar yang dibina oleh geng munafiq. Dan lagi Allah menyebut adanya orang yang suka membersihkan diri mereka yang bersolat disitu. Bersih disini bermakna suka bertaubat, istighfar, memohon ampun pada Allah. Semoga kita juga termasuk dalam golongan itu semasa kita bertandang ke Masjid Quba’.

لا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ (١٠٨)

Ertinya: Jangan Engkau sembahyang di Masjid itu selama-lamanya, kerana Sesungguhnya Masjid (Quba’ Yang Engkau bina Wahai Muhammad), Yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya Engkau sembahyang padanya. Di Dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki Yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang Yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Orang yang bersolat disitu mendapat pahala seperti mengerjakan umrah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

قَالَ سَهْلُ بْنُ حُنَيْفٍ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ، ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءَ، فَصَلَّى فِيهِ صَلَاةً كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ.

Ertinya: Dari Sahl bin Hunaif bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah.
[HR Ibn Majah]

Dan Rasulullah SAW suka mengunjungi Masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu dan Rasulullah SAW bersolat Dhuha dalamnya. Jadi selain kita Solat Tahiyatul Masjid kita juga digalakkan melakukan sekali Solat Dhuha semasa dibawa oleh pihak travel.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبًا. وَكَانَ عَبْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَفْعَلُهُ.

Ertinya: Dari Ibn Umar r.a, Rasulullah SAW pernah mengunjungi masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu, samada berjalan kaki ataupun berkenderaan.
Dan Ibn Umar r.a juga melakukannya seperti itu.
[HR Bukhari]

0 comments