MATTA Tidak Setuju Tabung Haji Uruskan Umrah

KUALA LUMPUR | Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) tidak bersetuju urusan umrah jemaah Malaysia diletakkan di bawah kendalian Tabung Haji (TH) sebagaimana yang dicadangkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Naib Presiden Umrah dan Haji Matta, Shahrulnezam Mohd. Daud berkata, beratus ribu jemaah umrah mengerjakan ibadah itu setiap tahun tanpa sebarang insiden tidak diingini selama ini, maka adalah tidak bijak untuk memansuhkan mekanisme sedia ada tersebut.

Kata beliau, cadangan itu akan menjejaskan ratusan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama operator pelancongan bumiputera dan beribu kakitangannya kerana sangat sukar untuk operator swasta bersaing dan kekal dalam perniagaan jika ada agensi kerajaan lain mengambil alih.

“Selama bertahun mereka yang mengendalikan umrah mesti mendapatkan lesen ‘Outbound’ dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan baru-baru ini, hanya pengendali pelancongan dengan Lesen Khas Umrah diberi kuasa untuk berbuat demikian

“Perlindungan yang diperlukan sudah ada. Kebanyakan penipuan umrah disebabkan orang tengah atau individu yang bertindak sebagai `freelancer’ yang hilang selepas mengambil wang.

“Risiko sedemikian dikurangkan dengan mengadakan pengendali pelancongan umrah berlesen yang bertanggungjawab terhadap tindakan sub-agen, sama ada agensi pelancongan atau individu yang mewakili mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

CAP hari ini menyarankan agar TH dijadikan badan yang menguruskan lesen bagi ibadah umrah dalam usaha mengekang kegiatan penipuan oleh ejen yang mengendalikan pakej ibadah itu.

Presiden CAP, S.M Mohamed Idris dipetik berkata, TH mempunyai keupayaan dan kecekapan dan menguruskan dalam menguruskan hal-hal berkaitan haji dan hanya memerlukan pendekatan terakhir untuk menggabungkan perkara-perkara berkaitan umrah dalam mekanisme sedia ada.

Sementara itu, Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, walaupun penting untuk memerangi pakej umrah palsu, tetapi kebajikan pengendali pelancongan sektor swasta juga perlu dilindungi demi kebaikan industri.

Sumber: Mynewshub

0 comments