Najib, Keluarga Masuk Ziarah Makam Rasulullah SAW

Syukur… Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga diberi penghormatan oleh kerajaan Arab Saudi menziarah Makam Nabi Muhammad SAW sempena lawatan kerja lima hari ke negara itu.

“Alhamdulillah, semalam saya dan keluarga telah (diberikan peluang untuk) melawat Raudhah dan Makam Nabi Muhammad selepas solat fardu Isya’ di Masjid Nabawi (di Madinah).

“Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, telah pun memberi kebenaran untuk saya dan keluarga termasuk Bonda (Tun Rahah Mohammad Noah) memasuki makam Rasulullah.

“Kami bersyukur dapat memasuki makam Nabi Muhammad dan diberi penghormatan berbuat demikian kerana ia hanya diberikan kepada tetamu-tetamu istimewa Kerajaan Arab Saudi sahaja.

“Tidak ramai yang mendapat peluang tersebut (untuk masuk ziarah makam Rasulullah SAW pada Selasa),” kata Najib secara eksklusif menerusi akaun Facebook @najibrazak pada hari ini.

Makam baginda SAW itu terletak bersebelahan pusara khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab dalam kawasan dikenali sebagai Raudhah di bawah kubah hijau kompleks Masjid Nabawi.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata lawatan kerja Perdana Menteri ke Arab Saudi bermula semalam hingga 12 Januari ini adalah atas jemputan Raja Arab Saudi.

Menurutnya, lawatan kali kedua tersebut bertujuan membolehkan pemimpin kedua-dua negara berbincang isu-isu dua hala yang telah dipersetujui semasa kunjungan sulung baginda ke Malaysia tahun lalu.

Selain itu, adalah menjadi hasrat perdana menteri sendiri untuk turut menunaikan ibadah umrah semasa lawatan kerja berkenaan, jelas kenyataan pejabat tersebut lagi di Putrajaya.

Sumber: Mynewshub

0 comments