Najib Serah Surat Tawaran Haji Kepada 1,200 Penerima

PUTRAJAYA | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan surat tawaran menunaikan fardu Haji 1439H/2018 kepada 1,200 penerima yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Majlis penyerahan surat tawaran program haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu berlangsung di Masjid Putra di sini.

Najib dalam ucapannya berkata, pelaksanaan program yang memasuki tahun kelapan itu semakin berjaya memandangkan kerajaan mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Arab Saudi di bawah pimpinan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Menurutnya, program yang diilhamkannya pada 2011 itu kini  telah menghantar seramai 5,711 golongan agamawan dan pemimpin akar umbi menunaikan haji,  yang dibantu menerusi dukungan Yayasan 1MDB serta Lembaga Tabung Haji (TH) selaku badan utama dalam urusan dan pengendalian menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Saya dapat bayangkan perasaan jemaah haji yang telah berjaya kita hantar yang nyata cukup bersyukur kerana pada mereka tanpa program ini, tidak mungkin merasai nikmat mengerjakan haji,” katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa ramai masyarakat Islam negara ini berpeluang  menunaikan ibadah haji hasil hubungan  baik tersebut, malah keberangkatan Raja Salman ke Malaysia pada tahun lepas turut membawa kepada tambahan kuota haji bagi jemaah Malaysia untuk musim haji kali ini.

Najib berkata, disebalik tohmahan pihak tertentu kononnya isu 1MDB menyebabkan mereka yang ke  Tanah Suci melalui tajaan  Yayasan 1MDB tidak akan mendapat haji yang mabrur, namun program berkenaan terus mendapat perhatian memberangsangkan daripada masyarakat.

"Jangan kata wang tersebut lesap begitu sahaja… itu hutang dan ia boleh dibayar. Jangan fitnah, kalau ada yang tidak betul, kita betulkan.

"Seorang mufti menyatakan soal mabrur adalah ketentuan Allah dan manusia tiada hak untuk menentukannya, lebih-lebih lagi oleh individu yang bukan ahlinya," katanya diiringi tepukan gemuruh hadirin.

Menurut Najib, jika pentadbiran kerajaan tidak berada di landasan mengikut syariat Islam, tidak mungkin Raja Salman memberi pertimbangan dalam soal penambahan kuota hajiserta meletakkan Malaysia sebagai negara pertama yang baginda kunjungi semasa melakukan lawatan rasmi ke rantau ini tahun lepas.

Perdana menteri turut mengajak bakal jemaah untuk berterima kasih kepada TH kerana sedia memberikan kuota haji lembaga itu kepada program tersebut selain mengekalkan kadar bayaran RM9,980 bagi mereka yang akan menunaikan haji musim ini.

"Kita kena ingat, kerajaan melalui TH telah memberi subsidi yang amat besar kepada jemaah kita di mana mereka hanya membayar RM9,980, manakala RM12,470 ditanggung TH, dan ini tidak termasuk pelbagai kemudahan lain yang dinikmati jemaah semasa beribadat di Tanah Suci," katanya.

Pada majlis tersebut, Najib turut melancarkan Alumni Program Khas Haji Perdana Menteri yang kini mempunyai seramai 6,111 ahli sejak program itu dimulakan pada 2011.

Sumber: SinarHarian

0 comments