Kad Perubatan Mekah, Madinah Untuk Pelanggan Simply Umrah

KUALA LUMPUR 28 Mei | Agensi umrah, Simply Umrah UMH Sdn. Bhd. memperkenalkan kad perubatan yang membolehkan setiap pelanggannya mendapatkan perkhidmatan kesihatan percuma semasa menunaikan ibadah umrah dan haji di Tanah Suci.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Afiq Mohammad Yusoff berkata, pihaknya menjangkakan pengenalan kad perubatan dengan nilai perlindungan maksimum 15,000 riyal (RM15,920) itu bakal meningkatkan jumlah pelanggan antara 25 hingga 50 peratus.

Jelas beliau, pihaknya menawarkan kad perubatan yang boleh digunakan untuk perkhidmatan klinik pesakit luar dan penghospitalan di klinik-klinik pakar yang terletak di Menara Jam, Mekah dan bersebelahan Masjid Quba, Madinah itu sejak tahun 2017.

“Untuk menggunakan khidmat yang boleh didapati sepanjang masa berada di kedua-dua kota suci tersebut, jemaah hanya perlu menunjukkan kad perubatan dan terus berjumpa doktor yang bertugas 24 jam sehari.

“Jemaah tidak akan dikenakan caj tambahan kerana khidmat ini adalah sebahagian daripada nilai tambah pakej, malah jemaah dengan penyakit sedia ada turut boleh menikmati perlindungan ini.

“Matlamat kami adalah untuk memberikan kemudahan kepada jemaah kerana risiko sakit tetap ada kerana perubahan cuaca di Tanah Suci agak ketara terutama pada musim panas sekarang ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, setakat ini hanya terdapat dua pengendali umrah menawarkan kad perubatan sepanjang berada di Tanah Suci temasuk pakej yang dikendalikan oleh syarikatnya.

Mohammad Afiq berkata, pihaknya menawarkan pakej paling kompetitif iaitu penginapan paling hampir dengan dua kota suci Mekah dan Madinah masing-masing di Millenium Tower dan Elaf Taiba Hotel.

“Kami menyasarkan sebanyak 5,000 pakej umrah terjual pada musim semasa dengan harga bermula RM6,590 pada waktu bukan puncak,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai tawaran umrah semasa, orang ramai boleh menghubungi talian 019 228 0220 atau layari simplyumrah.my

Sumber: Utusan

0 comments