Elak Terpedaya Sindiket Tawar Pakej Umrah Murah


Kuala Lumpur: Orang ramai perlu berwaspada dengan tawaran pakej murah umrah dan pelancongan ke Asia Barat kerana ramai yang sudah menjadi mangsa penipuan.

Presiden Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM), Abdul Aziz Ismail, berkata dalam kes terbaru, dua usahawan wanita yang mengikuti program umrah anjuran ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelancongan dan produksi filem, mengalami kerugian tambahan lebih RM100,000.

Walaupun kegiatan CEO wanita itu pernah dilaporkan kepada polis pada 2006 dan 2010 berhubung penipuan pakej umrah membabitkan 500 jemaah, dia dikatakan kembali aktif memperdaya orang ramai dengan nama samaran baru seperti Mummy Zie, Hayati dan Rohaya.

Ramai yang sudah menjadi mangsa CEO itu, justeru kami minta mereka yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat aduan atau menghubungi segera LPPM," Abdul Aziz Ismail, Presiden LPPM

“Orang ramai perlu berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran pakej umrah dan pelancongan ke Asia Barat yang ditawarkan dengan harga yang murah.

“Ramai yang sudah menjadi mangsa CEO itu, justeru kami minta mereka yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat aduan atau menghubungi segera LPPM,” katanya di sini, semalam.

Dua Usahawan Rugi RM100,000

Dua usahawan wanita yang kerugian lebih RM100,000 turut hadir berkongsi kisah mereka sebagai panduan kepada orang ramai.

Seorang mangsa, Rafiah Mohd Amin, 52, berkata beliau bersama 29 jemaah mengikuti pakej umrah pada 2011 selepas tertarik dengan tawaran harga yang dijanjikan iaitu RM5,450.

“Pada mulanya ibadat umrah kami berjalan lancar. Bagaimanapun pada hari terakhir di Makkah, kami diberitahu passport ditahan oleh pengurusan hotel kerana tidak menjelaskan bil penginapan,” katanya.

Bagi menyelesaikan masalah itu, setiap jemaah diminta membayar RM2,000 bagi mendapatkan semula passport dan wanita berkenaan berjanji akan membayar semua wang itu.

Bagaimanapun, setelah tiba di Malaysia, CEO wanita itu bukan saja enggan mengembalikan wang berkenaan, malah meminta mangsa meminjamkan RM45,000 bagi melangsaikan hutang dengan beberapa pihak di Makkah.

Akibat termakan pujukan wanita itu, beliau menyerahkan duit simpanan haji RM25,000 serta simpanan di bank RM20,000 dan dua unit jongkong emas seberat 110 gram.

0 comments