Jemaah Wanita Mesti Ada Mahram Ikut Sekali


Kuala Lumpur: Bermula tahun ini, wanita yang mahu mengerjakan umrah perlu ditemani mahram sebagaimana ditetapkan Kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, arahan itu bukan dikeluarkan kepada jemaah Malaysia saja, bahkan semua negara baru-baru ini.

“Saya sudah minta pihak Tabung Haji menyusun satu tarikh sidang akhbar bagi menjelaskan isu berkenaan kepada umat Islam negara ini.

“Kalau dulu, ibadah haji saja yang kena ada mahram...tapi sekarang jemaah umrah juga diarahkan berbuat sama. Begitupun kita percaya langkah ini bertujuan membantu mengurangkan beban permasalahan di peringkat Kerajaan Arab Saudi sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) MAIWP di Masjid Saidina Othman Ibn Affan di sini, semalam.

Seramai 440 pelajar tingkatan satu hingga lima SMA-MAIWP menerima bantuan berjumlah RM44,000. Angka itu adalah sebahagian kecil daripada peruntukan RM540 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2013.

Menjelas berhubung salah faham yang mungkin timbul daripada arahan Kerajaan Arab Saudi itu, Jamil berkata masyarakat kena tahu bahawa isu mahram berkait dengan hukum.

“Kita harap jangan ada pihak yang cuba pertikaikan...saya percaya mereka (Kerajaan Arab Saudi) juga ada hujah tersendiri yang semestinya berkait dengan hukum,” katanya.

Terdahulu, Kedutaan Arab Saudi memberi arahan tiada lagi tumpang mahram untuk jemaah wanita yang mahu mengerjakan umrah sendirian.

Dengan adanya arahan sedemikian, ia sekali gus menetapkan bahawa jemaah yang mahu menunaikan umrah mesti ditemani suami, adik-beradik lelaki berumur 18 tahun ke atas atau bapa saudara.

0 comments