Kak Ton Mengaku Tidak Bersalah

ROMPIN | Seorang wanita yang dikenali sebagai 'Kak Ton' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Rompin di sini, hari ini atas 11 pertuduhan menipu dalam menyediakan perkhidmatan pakej umrah tahun lalu.

Zaiton Man, 48 tahun dituduh menawarkan pakej umrah yang tidak wujud sehingga memperdaya kesemua mangsa untuk menyerahkan wang secara tunai dan memasukkan wang berjumlah RM44,000 ke dalam akaun milik tertuduh.

Wanita yang berasal dari Indera Mahkota, Kuantan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan dari 31 Disember 2016 hingga 20 Oktober tahun lalu di FELDA Keratong, Bandar Muadzam Shah dan Bandar Tun Razak di sini.

Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Majistret Najwa Hashim kemudian menetapkan nilai jaminan keseluruhan berjumlah RM35,500 dan 15 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syamsul Kahar Ahmad Nadri dan tertuduh diwakili peguam Osman Abdullah.

Sebelum ini media pernah melaporkan mengenai 48 individu termasuk peneroka FELDA Keratong, Rompin mendakwa kerugian kira-kira RM300,000 ditipu seorang wanita dikenali sebagai 'Kak Ton' yang menawarkan pakej umrah.

Mangsa yang kecewa kerana gagal ke Tanah Suci pada tarikh dijanjikan iaitu awal Disember lalu membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah.

Difahamkan, 'Kak Ton' adalah wakil syarikat berpangkalan di Kamunting, Perak dan syarikat itu pula akan bekerjasama dengan beberapa agensi umrah lain untuk menghantar individu berkenaan mengerjakan umrah.

Sumber: AstroAwani

0 comments