Bas Jemaah Umrah Singapura Bertembung Lori


Sebuah bas membawa sekitar 30 jemaah umrah dari Singapura terlibat dalam satu nahas selepas bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke bandar Taif pagi tadi.

Memetik beberapa sumber, mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut merupakan kumpulan jemaah umrah daripada Abu Bakar Travel Services Pte. Ltd.

Sumber melaporkan, hanya seorang jemaah dipercayai warga Singapura dilaporkan maut manakala mangsa yang lain cedera dalam kemalangan tragik berkenaan.

Mangsa yang maut ialah pengarah syarikat pelancongan berkenaan iaitu Ustaz Haji Mohd Abu Bakar Osman dan mangsa lain dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut jurucakap Ketua Pengarah Pasukan Pertahanan Makkah, Mejar Jeneral Nayef Al-Sharif, kemalangan berkenaan berlaku sekitar jam 9 pagi ketika bas tersebut dalam perjalanan ke bandar Taif.

“Pihak kami menerima laporan tentang sekumpulan jemaah yang terperangkap dalam bas tersebut selepas pertembungan yang berlaku di jalan Quba’iya.

“Mereka diselamatkan oleh Unit Menyelamat Pasukan Pertahanan Awam,” katanya seperti dipetik sebuah portal.

Dalam pada itu, Mynewshub juga difahamkan bahawa isteri kepada Ustaz Abu Bakar turut berada dalam bas tersebut dan merupakan antara mangsa yang cedera.

Sumber juga berkata, anak lelaki beliau yang berada di Singapura kini dalam proses mendapatkan dokumen perjalanan untuk berangkat ke Arab Saudi bagi menguruskan hal berkenaan.

Sumber: Mynewshub

0 comments