Soalan 4

  
Soalan:

Biasanya kita melihat orang menyembelih lembu atau kambing untuk ibadah korban adalah pada waktu pagi iaitu selepas solat sunat Aidiladha. Bilakah waktu korban yang ditetapkan oleh Syarak?

Jawapan:

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ (٢)

Maksudnya: Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).
(Surah al-Kauthar 108: 2)

Maksud berkorbanlah mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban.

Al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata: “Dimulakan dengan solat (Solat Hari Raya Aidiladha) sebelum melakukan ibadah korban.”

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata: “Waktunya bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Haji (Hari Raya Korban) iaitu sekadar sempat ditunaikan dua rakaat sembahyang dan dua khutbah. Kemudian, berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada akhir hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah. Waktu afdal untuk men yembelih adalah selepas selesai solat sunat hari raya.”

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini (hari raya) ialah kami bersembahyang. Kemudian, kami pulang dan men yembelih korban. Oleh sebab itu, sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melaksanakan sunnah kami. Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu, maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya, bukan untuk ibadah korban sedikit pun.
(HR al-Bukhari, no. 922 dan Muslim, no. 1961)

Makna perkataan: “Sesiapa yang telah menyembelih sebelum itu” adalah sebelum masuk waktu sembahyang hari raya dan sebelum berlalu waktu sekadar yang sempat didirikan sembahyang.

Jubair bin Mut’im r.a meriwayatkan, katanya:

وَكُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيْقِ ذَبْحٌ

Maksudnya: Setiap hari Tasyrik adalah sembelihan (waktu untuk menyembelih).
(Riwayat Ahmad, no. 16751, al-Baihaqi, no. 10006 dan al-Thabarani dalam Mu’jam Kabir, no. 1583. Kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid, no. 5540, “Para perawinya dinilai thiqah (kepercayaan).”)

Sumber:
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Q & A Bersama Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. PSN Publication. 2012.

0 comments