{Seperti yang diceritakan oleh
Haji Nor Hashim Abdullah, 43, dari Harmony Excellence Travel & Tours
kepada wartawan Mastika, Desi Ernita Dahnin @ Nita.}
SUDAH lebih
sepuluh tahun saya mengumpul pengalaman dalam menguruskan jemaah haji dan
umrah, pelbagai kerenah yang saya temui. Tak kiralah sama ada sebelum berangkat
ke Tanah Suci ataupun sewaktu berada di sana. Apa yang boleh saya katakan, mereka
yang berjaya sampai ke Mekah untuk menunaikan ibadah adalah golongan yang
dipilih Allah. Jika Allah tidak menjemput, jemaah itu tidak akan berjaya sampai
ke Tanah Suci.
Wang bukan
segala-galanya. Saya sering melihat kes di mana jika orang itu banyak duit
sekali pun, tetapi ada saja halangannya sejak di tanah air sehingga menyebabkan
dia gagal menjadi tetamu Allah di Mekah. Ada kalanya, kerana fikir dia kaya dan
banyak wang, maka itu menjadi lesen untuk meminta apa saja bertaraf first class
bagaikan melancong ke luar negara lagaknya. Pernah saya bawa seorang jemaah
wanita, boleh dikatakan dari golongan elit. Sebelum pergi lagi dah minta
macam-macam. Lepas tu, langsung tak mahu bercampur dengan jemaah lain. Kononnya
orang lain tak setaraf dengannya. Sikapnya sungguh sombong dan suka memerintah
orang. Semasa di Madinah, dia sudah mula tunjuk rasa tak puas hati. Kononnya
makanan tak sedap, persekitaran tak selesa dan macam-macam lagi. Saya sendiri
tidak faham tujuannya datang ke Tanah Suci untuk beribadah atau melancong.
Sudahlah begitu, dia suka melaga-lagakan orang dengan fitnah hingga ada jemaah
yang bermasam muka angkaranya. Bila sampai di Mekah, kami bawa ke hotel
penginapan. Walaupun hotel itu tidak secantik mana namun ia selesa dan segala
kemudahan disediakan. Semua jemaah suka dan amat bersyukur kerana dapat
penginapan yang paling dekat dengan kawasan Masjidilharam. Ini memudahkan
mereka berulang-alik mengerjakan ibadah.
Macam
Kandang Babi
TAPI berlainan
pula dengan wanita elit itu. Mula-mula dia membebel kerana tak puas hati dengan
hotel itu. Katanya hotel itu buruk. Lama-kelamaan amarahnya mula berpanjangan.
Daripada membebel, akhirnya dia terjerit-jerit marah dan memaki hamun di depan
jemaah lain hanya kerana tidak mahu menginap di hotel tersebut. “Hotel ni macam
kandang babi? Aku tak mahu tinggal kat tempat kotor macam ni!” jerit wanita
itu. Habis pintu hotel ditendangnya. Saya hanya geleng kepala. Jemaah lain
turut malu dengan sikapnya hamun dalam ihramnya itu.
Kami memujuk,
tapi dia terus memarahi dan memaki hamun kami semua. Hampir setengah hari habis
masa kami memujuknya. Tidak mahu jemaah lain terganggu kerana kerenahnya itu,
akhirnya kami tempatkan dia di sebuah hotel mewah yang jauh dari Kaabah. Kalau
diikutkan, tak layak pun dia duduk di hotel itu. Bayangkanlah, bayar pakej
untuk kelas pertengahan, tapi minta layanan bagaikan dia membayar pakej kelas pertama.
Tapi kerana malas mendengar suaranya yang tak habis membebel dan mengganggu Jemaah
lain, kami turutkan saja kemahuannya.
Lepas itu,
mutawif minta wanita tersebut membayar dam kerana sudah banyak melanggar syarat
dalam ihram. Lebih kurang RM400 dendanya. Tak sampai 15 minit lepas dia bayar,
dia boleh marah semula mutawif dan berkeras minta dipulangkan semula duit
damnya itu.
Dia sanggup
tinggal seorang diri di hotel berlainan yang jauh daripada jemaah lain. Saya
dapat, tahu selepas itu dia langsung tidak dapat mengerjakan ibadah umrah di
Mekah. Sebabnya tiba-tiba haidnya datang tak menentu. Kejap ada, kejap tiada.
Sehari suci, esoknya ‘kotor’ semula. Semasa dalam ihram, haidnya datang lagi.
Akhirnya, sepanjang 10 hari di Mekah, memang dia lebih banyak duduk di hotel
saja, langsung tak dapat buat ibadah. Betapa ruginya orang seperti ini.
Gagal
Pijak Masjidilharam
SELAIN itu, saya
teringat juga satu kes seorang lelaki berusia 60-an yang mengerjakan umrah
ditemani anak lelakinya. Semasa di Madinah, semuanya berjalan dengan baik.
Tapi, sampai di Mekah lain pula jadinya. Lelaki itu tak boleh memasuki kawasan
Masjidilharam. Tiap kali dia jejakkan kaki ke dalam kawasan itu, dia akan
menjerit-jerit kepanasan. Badannya rasa nak terbakar sampai nak dicabutnya kain
ihram kerana tak tahan berasa panas. Begitulah setiap kali mahu memasuki
kawasan Masjidilharam.
Lebih haru, bila
kami tanya mana Kaabah, dia boleh tunjuk arah belakang. Maknanya, Kaabah yang
besar pun langsung dia tak nampak! Anak lelakinya menangis melihat keadaan itu.
Setelah puas bertanya, barulah lelaki itu bercerita dia ada membela hantu raya.
Tujuannya untuk membantunya melakukan kerja dan menjaga rumah semasa ketiadaannya
sewaktu zaman mudanya dulu. Kami tanya di mana dia simpan benda pemujaan hantu
raya itu. Setelah dia menyebutkan lokasinya, anaknya menelefon keluarganya di
tanah air dan minta dibuang benda itu dengan bantuan pengamal perubatan
tradisional. Setelah hantu raya itu dibuang, barulah lelaki itu boleh memijak kawasan
Masjidilharam. Barulah dia boleh melihat Kaabah. Kerana itu semasa memberi
kursus pada jemaah yang mahu berangkat ke Tanah Suci, saya selalu mengingatkan
mereka jika ada sebarang amalan ilmu hitam atau yang menyalahi syariat, lebih
baik ‘dibersihkan’ dahulu dan bertaubat sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Betulkan tauhid
kita sebelum berangkat ke sana. Jika tidak, itulah yang terjadi seperti kes pakcik
tadi. Selain itu, akhlak kita sesama manusia juga harus dijaga. Sebaiknya kita
minta ampun dan maaf pada mereka yang pernah kita zalimi atau sakiti hatinya,
apatah lagi jika kita ambil haknya.
Akibat
Alih Batu Sempadan
PERNAH berlaku
seorang jemaah lelaki yang saya bawa tak boleh buat ibadah sepanjang berada di
Mekah. Badannya sentiasa terasa panas dan tidak keruan hingga dia langsung tak
boleh beri tumpuan untuk beribadah. Dia mengadu pada saya lalu saya bertanya
jika dia ada buat apa-apa kesalahan sebelum ini. Akhirnya dia teringat semasa di
kampung dia suka mengambil tanah hak orang. Dia dengan sengaja mengalihkan batu
sempadan agar tanahnya lebih luas dengan ‘mencuri’ hak orang lain. Selepas
dinasihatkan, dia menelefon jirannya di tanah air dan meminta maaf atas
perbuatannya itu. Selepas itu barulah dia dapat melakukan ibadah dengan tenang
di Mekah.
Sebenarnya,
cerita-cerita yang saya bawakan tadi sepatutnya menginsafkan kita. Apa saja
ujian atau balasan yang kita lalui semasa berada di Tanah Suci, terimalah
dengan dada terbuka. Jangan takut, jangan gentar. Setiap ujian dan balasan di
sana adalah salah satu pengampunan dosa kita. Jika kita tidak dapat menerimanya
dengan redha, bermakna kita adalah manusia yang rugi. Segala keajaiban yang
ditunjukkan Allah di Tanah Suci itu bersifat pelbagai. Seperti saya alami dua
tahun lalu. Ketika saya berniat mahu bawa golongan yang tidak berkemampuan ke
Tanah Suci.
Mereka terdiri
daripada anak-anak yatim, orang tua, golongan miskin dan pelajar madrasah di
mana mereka ingin sangat ke Mekah tapi tidak mampu dari segi kewangan. Kalau
diikutkan logic akal, bajet untuk membawa mereka memang tak cukup langsung.
Tapi saya tawakal dan berserah pada Allah. Sampai di Tanah Suci, rezeki saya
tak putus-putus. Ramai orang menderma, segala bajet seperti makan minum dan
penginapan tiba-tiba dapat diskaun paling murah.
Kad ATM bila
dicucuk sentiasa ada wang. Dalam poket pun bila saya seluk, ada saja wang yang
saya sendiri tertanya-tanya entah datang dari mana. Itulah kuasa Allah. Semasa
pergi tak cukup wang, sampai di sana wang saya jadi berlebihan hingga boleh membeli-belah
untuk golongan yang tidak berkemampuan ini. Daripada situ saya bertekad seboleh-bolehnya
saya mahu membantu membawa golongan sebegini ke Tanah Suci. Oleh kerana itulah
saya wujudkan program ‘Kembara Taubat Di Bumi Anbia’ yang akan bermula pada Mei
tahun ini. Tujuannya untuk memberi peluang pada golongan yang tidak
berkemampuan untuk sama-sama menjadi tetamu Allah di sana. Saya percaya, benda
baik yang kita lakukan dengan ikhlas tanpa tujuan mengaut keuntungan pasti akan
dipermudahkan jalannya oleh Allah.
Q Kembara Taubat Di Bumi
Anbia adalah program umrah yang dilaksanakan untuk membantu golongan tidak
berkemampuan dari sudut kewangan untuk dibawa ke Tanah Suci. Mereka yang menyertai
program ini untuk menunaikan umrah secara tidak langsung telah menyumbang
kepada pembiayaan perjalanan golongan ini yang terdiri daripada anak yatim, ibu
tunggal dan fakir miskin. Untuk keterangan lanjut anda boleh layari www.harmoni2u.com
C
Majalah Mastika. Mei 2011.
0 comments